Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Bermula dengan hasrat dan keinginan untuk menjadikan makanan tradisional sebagai sebahagian daripada makanan moden dan lebih dihargai oleh generasi baru serta dikenali di seluruh Malaysia, seorang usahawan muda mengembangkan perniagaan kecil-kecilan membuat kuih karas yang kini dikenali dengan nama Kuih Karas Raja.
Nur Ainin Sofea Md Fauzi, 30, dari Kampung Tempoyak, Mukim Air Puteh, di sini meneruskan legasi pembuatan kuih karas yang dahulunya dimulai oleh keluarga beliau sejak tahun 2011.
Setelah mendapat bimbingan serta bantuan peralatan memasak daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), beliau mula membuka bengkel kecil untuk menghasilkan kuih tradisional ini sejak tahun 2022 berhampiran rumahnya di Kampung Tempoyak.
“Kuih karas mempunyai rasa manis dan ranggup ini, mempunyai penggemarnya yang tersendiri termasuklah kerabat diraja Kedah serta telah berjaya diedarkan kepada pembekal makanan trasidional sehingga ke selatan tanah air.
“Rasa kuih karas ini lebih sedap kerana saya menggunakan bahan-bahan yang diimport,” jelasnya.
Selain menghasilkan kuih karas, beliau juga mula berjinak-jinak dalam menghasilkan kuih moden seperti biskut cip coklat dan simpulan kasih.
“Masih ramai anak muda di luar sana yang menganggur dan mencari pekerjaan perlu buangkan sifat malu kerana walaupun perniagaan ini tidak popular, namun ia dapat memberikan pulangan serta pendapatan yang lumayan,” katanya.
-ZS-