Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan melaksanakan harga siling bagi penerbangan antara Kuala Lumpur ke Sabah, Sarawak dan Labuan tiga hari sebelum musim-musim perayaan utama di negara ini.
Menurut Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook kerajaan membuat intervensi dengan menetapkan harga siling atau menampung perbezaan harga tiket penerbangan dan kerajaan membelanjakan RM10 juta untuk tujuan itu.
“Kita cuba terbaik untuk membantu rakyat kerana pengangkutan udara adalah mod pengangkutan penting antara Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung Malaysia,” katanya semasa ditemui media di Program Jom Gegar Labuan anjuran Kementerian Pengangkutan, di sini semalam.
Katanya, melalui Belanjawan 2025 Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif meningkatkan perkhidmatan sistem pengangkutan demi kesenangan serta kesejahteraan rakyat daripada semua sudut.
“Khusus bagi penduduk Labuan terutama golongan para pelajar universiti awam, pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebelum ini telah menikmati Program subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa bagi laluan domestik antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dan inisiatif ini akan diteruskan bagi tahun 2025.
“Inisiatif ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan hampir 60,000 golongan mahasiswa untuk pulang ke kampung halaman, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.
-ZS-