Laporan/foto: Latifah Salleh/Md Yusof (Muar)
MUAR, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Masyarakat perlu mengambil sikap peduli di samping menyemai kesedaran kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar khususnya sumber air yang menjadi keperluan asas hidup setiap makhluk.
“Pembersihan sungai adalah tanggungjawab bersama dan perlu menjadi amalan dalam kehidupan seharian. Justeru semua peringkat masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam menjaga kebersihan sungai dan persekitaran kita.
“Untuk permulaan, kita kena jaga persekitaran rumah supaya bersih dan tersusun barulah kita bekerjasama selaku anggota masyarakat untuk menjaga sungai dan persekitaran,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri Johor Ling Tian Soon.
Ling Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, berkata demikian di program Johor Bersih@Sungai Peringkat Daerah Muar 2024 di Jeti Jorak, di sini kelmarin.
Program anjuran Jabatan Pengairan Daerah Muar dengan kerjasama Pejabat Daerah Muar dan Majlis Perbandaran Daerah Muar yang berkonsepkan gotong-royong bertujuan mengajak masyarakat untuk bersama-sama memelihara, menjaga dan melestarikan alam sekitar.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti pelepasan bot-bot nelayan untuk kutipan sampah di sungai dan acara lari kutip.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti My Aqua, peserta bimbingan Jabatan Perikanan dan New Hock Thai Nursery Sdn. Bhd. turut memberikan sumbangan dengan pelepasan benih udang galah sebanyak 2,000 ekor dan aktiviti menanam pokok kelapa pandan dan pokok-pokok hiasan sekitar Sungai Muar.
Turut hadir ADUN Bukit Pasir Mohd Fazli Mohd Salleh, Pegawai Daerah Muar Zainal Eran dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Daerah Muar Norrizam Mohd.
-ZS-