Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah
KANGAR, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Menyingkap sebuah kandungan poster daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkenaan ‘Menghulurkan sedekah’, bagi sesebuah perniagaan, tanggungjawab sosial korporat (CSR) adalah setara dengan konsep sedekah dan pastinya tidak akan memberi kerugian malah akan diberi balasan atas kebaikan yang diberikan.
Dua buah jenama bumiputera yang cukup gah dan terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan iaitu Mokti’s Malaysia dan juga Pasar Borong Sakan, selayaknya dijadikan inspirasi oleh para usahawan dan juga peniaga lain kerana tidak melupakan tanggungjawab mereka kepada masyarakat setempat.
Mokti’s yang kini telah berjaya membuka lebih 90 cawangan di dalam dan luar negara melalui cawangannya di seluruh negeri Perlis dan beberapa cawangan terpilih di beberapa negeri menyediakan aiskrim secara percuma buat ibu hamil pada setiap hari Jumaat.
Menurut pengasas yang berasal dari Perlis ini, Siti Fatimah Adnan, 33, program CSR ini telah bermula sejak 2021 lagi.
“Bagi ibu yang mengandung, hanya datang, tunjukkan buku pink (buku hamil) dan akan diberi percuma aiskrim apong bersaiz medium,” katanya.
Menurutnya, ibu hamil boleh mendapatkan aiskrim secara percuma sepanjang tempoh mereka mengandung.
Selain itu, Mokti’s Malaysia Cawangan Perlis juga turut menyediakan inisiatif wakaf Air Wakaf bertapis di premis bangunan pejabatnya yang terletak di Sena, di sini kepada masyarakat setempat.
Sebuah lagi perniagaan tempatan iaitu Pasar Borong Sakan yang menjalankan perniagaan jualan runcit dan borong serta mempunyai 63 cawangan sejak telah ditubuhkan 13 tahun lalu, menyediakan diskaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mendapatkan barang keperluan rumah dan pakaian.
Menurut Penolong Pengurus Sakan (Perlis) Azwa Natasya Zukri, 22 diskaun istimewa ini diberikan kepada pemegang Kad OKU.
“Setiap pemegang kad OKU layak menikmati diskaun 12 peratus namun tidak termasuk bagi barangan pada harga promosi. Hanya menunjukkan kad OKU, diskaun akan diberikan ketika pembayaran di kaunter.
“Pembayaran boleh dibuat secara tunai, menggunakan kad debit atau kredit, kod QR termasuk e-Wallet,” ujarnya ketika ditemui di premis Pasar Borong Sakan, di sini petang semalam.
-ZS-