Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Sektor Pelancongan wajar Diperkasa secara Menyeluruh

By 7 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Sektor pelancongan yang sudah  memberikan pulangan ekonomi kepada masyarakat serta negara wajar sentiasa diperkasa secara menyeluruh dan konsisten.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah di Majlis Perasmian Festival Warisan Nusantara 2024 di Dewan 2020,di sini semalam.

Tuanku Raja Muda Perlis dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis berkenan melawat gerai pameran.

“Sama ada kita sedar atau tidak, media sosial semakin tidak ketinggalan menjadi instrumen utama bagi memasarkan produk-produk warisan dan pelancongan yang kita miliki.

“Oleh itu, penguasaan terhadap kaedah pemasaran yang kreatif dan inovatif, menggunakan media sosial dan Kecerdasan Buatan (AI) amat penting bagi memastikan capaian yang lebih meluas kepada masyarakat umum, sama ada dari dalam mahupun luar negara,” titah baginda.

Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tambah baginda lagi, pemerkasaan ini hendaklah dilaksanakan dengan memanfaatkan keunikan warisan kebangsaan, warisan budaya ketara, warisan budaya tidak ketara dan warisan semula jadi, bukan sahaja memfokuskan kepada negara kita sahaja, malah ke seluruh Nusantara.

Aktiviti jualan turut diadakan.

“Pelancong dari dalam mahupun luar negara boleh merasakan sendiri semangat toleransi dan muhibah yang dizahirkan oleh masyarakat Malaysia dalam tatakelola serta produk-produk warisan yang ditawarkan seperti makanan, kebudayaan, kesenian dan lain-lain,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Festival Warisan Nusantara (Warisan’24) yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Disember ini menggabungkan seni, tradisi dan sejarah warisan nusantara dengan aspirasi moden, mengekalkan keunikan budaya dalam kalangan generasi muda pada masa ini.

Melalui penganjuran festival ini, para pengunjung bakal diraikan dengan keindahan seni persembahan, masakan tradisional dan pameran artifak budaya dan merupakan salah satu  daya penarik utama pelancongan sejajar dengan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

-ZS-

Tinggalkan komen anda