Laporan/foto: Noor Shameiza Abd Razak (Kota Setar)
ALOR SETAR, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Skuad Ihsan Madani MOF telah mengadakan lawatan bagi meninjau keadaan mangsa banjir yang berlaku di Negeri Kedah.
Program inisiatif Kementeri Kewangan (MOF) yang diadakan di sini semalam dihadiri Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan adalah sebagai tanda kerbersamaan kementerian dengan komuniti yang diuji musibah.
Amir Hamzah turut mendengar taklimat bencana daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Dr. Nadzman Mustaffa dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Haji Kamarudin Dahuli.
Usai taklimat, Menteri Kewangan II bersama pasukan daripada Kementerian Kewangan telah membuat lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lengkuas, PPS SK Gunung dan PPS SK Sri Gunung bagi menyantuni mangsa banjir, meninjau kerja-kerja pemulihan operasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim serta menyerahkan sumbangan kepada 52 Ketua Isi Rumah (KIR) di PPS SK Gunung dan 86 KIR di PPS SK Sri Gunung.
Salah seorang penerima bantuan, Faridah Nayan, 56, yang ditemui meluahkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan kepada semua mangsa banjir di Kedah.
“Sejak berpindah ke PPS ini sembilan hari yang lalu, kami telah menerima banyak bantuan dari segi barang keperluan, wang ringgit dan juga sokongan dari pelbagai pemimpin masyarakat.
“Agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, tentera (Angkatan Tentera Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam banyak membantu kami di sini,” ujarnya.
Hadir sama mengiringi lawatan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali dan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah Zaiton Yahya.
-ZS-