Laporan/foto: Sufian Rashid/Zamrud Laili Mohd Mustap
BAYAN LEPAS, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Bagi memfokuskan kerjasama, memacu inovasi dan meningkatkan daya saing dalam sektor pembuatan Malaysia, dianggarkan hampir 180 orang daripada sektor awam dan swasta hadir berkumpul sempena program Jom Digital: Unlocking Smart Manufacturing Potential in Penang di sebuah hotel, di sini semalam.
Program yang dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu adalah bertujuan memperkenalkan Rangka Kerja Komunikasi, Keselamatan dan Tadbir Urus bagi pembuatan pintar.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari, berkata sebagai salah satu hab perindustrian paling dinamik di Malaysia, Pulau Pinang memainkan peranan utama dalam memacu transformasi ini.
“Pembuatan pintar bukan sekadar peningkatan teknologi, ia adalah satu strategi untuk ekonomi Malaysia dan agenda negara.
“Bagi memastikan Pulau Pinang terus berkembang maju sebagai peneraju dalam pembuatan, kita mesti menyatukan usaha, memanfaatkan kerjasama dan ekosistem yang inovatif untuk bersaing di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Technical Standard Forum Berhad (MTSFB), Normarinee Mohd Nor, berkata pembuatan pintar bukan semata-mata evolusi teknologi, malah ia adalah keperluan negara.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud.
-ZS-