
Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang penerima terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal serta Orang Kurang Upaya (OKU) di Parlimen Sungai Petani telah menerima sumbangan sekali beri sebanyak RM200 seorang daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sopiah Man (kanan) antara penerima sumbangan sekali beri daripada Perdana Menteri sebanyak RM200 seorang.
Bantuan disampaikan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Azman Abidin di Dewan Persatuan Penduduk Taman Seri Wang, di sini hari ini.
Dalam ucapannya Azman, berkata inisiatif tersebut bertujuan menyantuni rakyat dan mengenal pasti keperluan mereka tanpa mengira kawasan Parlimen sama ada diwakili kerajaan atau pembangkang.
“Perdana Menteri juga meminta kami membawa sagu hati berupa sumbangan khas one-off (sekali beri) untuk golongan yang terpilih dan ini juga salah satu medium untuk kami menyantuni rakyat dengan lebih dekat lagi,” katanya.
Salah sorang penerima, Sopiah Man, 78, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sumbangan ini meringankan bebannya.

Penerima-penerima sumbangan yang hadir pada hari ini.
“Saya tinggal berseorangan serta mengalami kesukaran untuk berjalan dan ia benar-benar telah melegakan hati kami yang memerlukan pada ketika ini,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Sungai Petani Dr. Taufiq Johari, Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Arang Adam Loh Wei Chai dan Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah Dr. Mohd Zaini Mohamud.
-ZS-