
Laporan/foto: Memi Yusoff/Shazila Ahmad (Selangor)
SHAH ALAM, 20 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 56 Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) menerima watikah pelantikan sempena Majlis Himpunan Wanita Selangor bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di IDCC Ideal Convention Centre, di sini hari ini.

Amirudin Shari ketika berucap merasmikan Majlis Himpunan Wanita Selangor bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di IDCC Ideal Convention Centre, Shah Alam
Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, program PWB di setiap DUN di Selangor menyediakan platform untuk wanita mempelajari kemahiran baharu, memupuk kepimpinan dan meningkatkan keupayaan mereka.
“Program PWB ini telah bermula sejak 2009 dan berjaya melahirkan ramai wanita berkemahiran dan mampu menjana pendapatan.

Tetamu yang hadir ke Majlis Himpunan Wanita Selangor bersama Dato’ Menteri Besar Selangor
“Saya mengucapkan tahniah kepada para penyelia PWB yang tidak kenal erti penat dalam membantu wanita di komuniti bangkit dan mampu berdikari, malah memiliki pendapatan hasil mempelajari kemahiran di program PWB,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.
Sementara itu, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, berkata terdapat dua modul yang dijalankan di PWB, pertama modul program pembangunan kapasiti antaranya ialah pendekmokrasian rakyat, kefahaman gender, wanita dan perundangan, asas keusahawanan, kesihatan, alam sekitar dan kedua modul kemahiran seperti seni kraftangan, laman tani dan landskap, perusahaan makanan dan minuman.
“Modul-modul ini bertujuan untuk memantapkan kefahaman, kemahiran dan kepimpinan wanita di peringkat komuniti,” katanya.
Objektif utama program ini adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam program pemberdayaan wanita anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Selain itu, ia juga menjadi platform untuk menghargai usaha dan inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasakan Wanita Selangor serta membangkitkan semangat kepada para penggerak pemberdayaan wanita untuk terus memberikan khidmat yang cemerlang.
-AA-