
Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini
TUMPAT, 20 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 348 mangsa pascabanjir di Kampung Baru Nelayan menerima bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan daripada Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil, dalam satu majlis sumbangan yang berlangsung di kampung tersebut, di sini hari ini.

YB Fahmi Fadzil berucap di Program Ihsan Komuniti MADANI
Inisiatif ini merupakan usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Maxis, di bawah Program Ihsan Komuniti MADANI yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.
Sebelum majlis bermula, YB Fahmi turut melawat beberapa rumah mangsa banjir untuk meninjau keadaan mereka.
Beliau berharap bantuan yang disampaikan mampu meringankan beban mangsa dan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap komuniti.

Pendaftaran warga Kementerian Komunikasi dan syarikat di bawah naungan Kementerian Komunikasi
“Kami hadir pagi ini bukan sekadar untuk menyantuni, tetapi juga untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, dengan sokongan Komuniti MADANI dan rakan-rakan di bawah naungan Kementerian Komunikasi,” katanya ketika menyampaikan ucapan.
Pada masa sama, YB Fahmi turut mengimbas pelancaran Skuad Ihsan MADANI pada 17 Disember 2024, yang melibatkan 529 sukarelawan ditubuhkan untuk memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada komuniti yang terjejas di seluruh negara.
Seorang penerima bantuan, Engku Zaid Tuan Mat, 56, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
“Saya mengalami kerugian besar akibat kerosakan harta benda semasa banjir dan bantuan ini sedikit sebanyak membantu saya mengganti keperluan rumah yang rosak,” katanya.
Program tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Broadband Sdn. Bhd. Azizul Abdul Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Persekutuan Kampung Baru Nelayan Nasir Hasan.
Majlis ini menjadi simbol kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta dalam memastikan kesejahteraan rakyat yang terjejas oleh bencana alam terus terbela.
-AA-