
Laporan/foto: Noor Azian Saad/Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 22 Jan (MalaysiaAktif) – 480 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat bencana banjir yang berlaku di daerah Pendang pada penghujung tahun lalu telah menerima bantuan kewangan pada hari ini.

Mangsa Banjir di Pendang Terima BWI.
Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Sumbangan Ihsan Perdana Menteri bagi Fasa 1 telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Ayer Puteh, di sini hari ini.
Salah seorang penerima BWI, Nurul Ilyana Mohd Zaim, 38, dari Kampung Alor Ali, berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana prihatin dengan nasib mangsa banjir yang mengalami banyak kerugian harta benda.
“Banyak barangan kelengkapan rumah yang terjejas akibat bencana banjir antaranya barangan eletrik yang penting seperti kipas angin, mesin basuh dan peti ais,” ujarnya.

Warga penduduk yang layak menerima bantuan mula mendaftar seawal pukul 1.45 petang tadi.
Turut hadir menerima sumbangan pada hari ini Mohd Khadafi Md Daud, 49, dari Kampung Tok Pauh, Bukit Raya, memberitahu bahawa sumbangan dan bantuan ini adalah tepat pada masanya kerana dapat meringankan beban terutamanya mangsa banjir yang mempunyai anak yang bakal bersekolah pada sesi persekolahan yang akan datang.
“Dengan sumbangan BWI ini, dapatlah kami gunakan untuk membeli peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak,” katanya.
-ZS-