
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/Pejabat Khidmat Adun Serom (Tangkak)
TANGKAK, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Penyertaan 10 buah kedai gunting rambut dalam kawasan DUN Serom memeriahkan sambutan program Gunting Rambut ‘Kembali ke Sekolah’ selain membantu pelajar mendapatkan potongan rambut kemas sebelum sesi persekolahan bermula.

Khairin-Nisa Ismail menyantuni pelajar-pelajar sekolah yang tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat gunting rambut secara percuma sebelum sesi persekolahan dibuka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail, berkata program ini bukan sahaja membantu keluarga menjimatkan kos persiapan sekolah, tetapi juga mengeratkan hubungan antara masyarakat.
“Inisiatif ini memberikan manfaat besar kepada ibu bapa dan anak-anak dalam membuat persediaan sebelum sesi persekolahan bermula dan diharapkan program sebegini dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Menna’s Barber Shop, salah satu kedai gunting rambut yang terlibat, di sini kelmarin.
Tambah Khairin-Nisa yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, program ini juga mendapat menggalakkan daripada ibu bapa dan pelajar yang ingin memastikan penampilan mereka kemas sebelum kembali ke sekolah.
“Dengan adanya inisiatif seperti ini, masyarakat setempat dapat menikmati perkhidmatan gunting rambut secara mudah dan terancang,” katanya.

Peserta program Gunting Rambut ‘Kembali ke Sekolah’ DUN Serom diberikan potongan rambut yang kemas sebagai persediaan ke sekolah.
Salah seorang peserta, Muhammad Danish Hakim, 10, dari Sekolah Kebangsaan Serom 3, meluahkan rasa gembira dapat menyertai program sebegini.
“Saya suka program ini sebab dapat potong rambut dengan kemas sebelum sekolah buka.
“Seronok juga sebab ramai kawan-kawan datang sekali,” katanya.
-ZS-