
Laporan/foto: Municca Kiat/Shah Izwan Rosli (Ranau)
RANAU, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Program gotong-royong wajar dimanfaatkan sebagai salah satu program komprehensif untuk mendidik masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, bertanggungjawab dan cakna terutama kepada isu kebersihan alam sekitar.
Wakil Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Jupirin Ruhimin berkata, program seumpamanya juga merupakan inisiatif penting bagi menyatukan dan memperkukuh ukhwah antara penduduk setempat.
“Program gotong-royong seperti ini bukan hanya untuk menjaga kebersihan, tetapi juga untuk mendidik kita semua tentang tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kesempatan ini saya ingin mengajak orang ramai untuk mempelajari teknik membuat kompos.

Jupirin ketika berucap mewakili Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam program gotong-royong anjuran JKDB.
“Kompos yang boleh digunakan sebagai baja ini juga dapat mengurangkan masalah pengurusan sisa makanan dan bahan-bahan lain yang berpotensi untuk dibuang ke tempat yang tidak sepatutnya,” katanya ketika merasmikan program gotong-royong di Tapak Tamu Liwagu di sini kemarin.
Tambah Jupirin, program kemasyarakatan seperti ini perlu diperkasakan kepada golongan belia sebagai usaha membentuk komuniti yang lebih progresif di samping pelaksanaanya yang konsisten.
“Kita perlu melibatkan generasi muda dalam program-program kebersihan ini agar semangat kemasyarakatan melalui aktioviti gotong-royong ini dapat diteruskan, saya juga berharap aktiviti seumpama ini diperluaskan ke kawasan lain termasuk di pekan dan kawasan-kawasan tumpuan lain agar semua mendapat manfaatnya,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB), Tan Eng Sing, 72, berkata, aktiviti program gotong royong juga akan meningkatkan lagi kerjasama antara masyarakat dan agensi-agensi terlibat bagi meningkatkan kesejahteraan sesebuah kawasan.
“Kerjasama ini penting kerana kebersihan adalah tanggungjawab bersama di mana semua pihak perlu peka terhadap kebersihan di sekeliling kita dan tidak hanya bergantung kepada program seperti ini semata-mata.
“Program ini juga menggalakkan masyarakat bekerjasama serta merapatkan lagi hubungan antara agensi-agensi yang terlibat,” katanya.

Rakan agensi yang hadir ke program gotong-royong tersebut kemarin.
Dalam pada itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Majlis Daerah Ranau, Juelber Albert, 37, menasihatkan orang ramai bertindak tegas untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melibatkan pencemaran alam sekitar kepada pihak berkuasa.
“Kami berharap agar orang ramai, khususnya penduduk di sini, sentiasa mengamalkan kebersihan dan tidak segan untuk menegur mereka yang membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.
“Masyarakat jangan teragak-agak untuk membuat aduan kepada agensi yang terlibat sekiranya terdapat individu yang tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar,” ujar beliau lagi.
Untuk makluman aktiviti gotong royong yang pertama bagi tahun ini di kawasan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama orang awam dan pelbagai pihak termasuk Majlis Daerah, Pejabat Daerah, Pejabat Parlimen, Pejabat ADUN Karanaan, Jabatan Penerangan, Skuad Kebersihan dan JKDB.
-RJ-