Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Penduduk Kinabatangan Terjejas Terima Bantuan Keperluan Asas Ekoran Banjir

By 12 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sharifah Fairuz Mohd Tahir /Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Kinabatangan)

KINABATANGAN, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 140 mangsa daripada 36 Ketua Isi Rumah (KIR) di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kinabatangan telah menerima bantuan keperluan asas termasuk bakul makanan sejak kawasan tersebut dilanda banjir empat hari lalu.

Banjir yang disifatkan paling buruk dalam tempoh lapan tahun ini mengakibatkan 26 kampung di daerah ini terjejas banjir akibat hujan berterusan di bahagian hulu yang menyebabkan paras air sungai meningkat.

Keadaan banjir yang semakin teruk akibat hujan berterusan.

Pegawai Daerah Kinabatangan, Willey Lampaki, berkata setakat ini, dua PPS masih beroperasi dan menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai dalam bentuk keperluan asas termasuk golongan rentan.

“PPS Sekolah Agama Negeri Pekan Bukit Garam menempatkan 102 mangsa daripada 27 keluarga, manakala PPS Sekolah Kebangsaan Sukau menempatkan 38 mangsa daripada sembilan keluarga.

“Kawasan yang terjejas kini meliputi 12 kampung di Lamag dan 14 kampung di Sukau, menunjukkan skala banjir yang lebih meluas dan memberi kesan yang besar kepada penduduk di kedua-dua kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Maskini menerima bantuan daripada pihak berkuasa selepas rumahnya dinaiki air.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Maskini Johaini, 28, dari Kampung Sukau Seberang berkata, rumahnya dinaiki air hingga paras betis pada 10 pagi tadi, menyebabkan dia terpaksa berpindah ke PPS walaupun masih dalam keadaan berpantang.

“Sebelum ini banjir hanya di halaman dan tidak pernah masuk ke dalam rumah, kami terus meninjau paras air dalam masa yang sempat memindahkan barang-barang berharga ke kawasan tinggi.

“Pihak berkuasa menyarankan kami berpindah awal ke PPS untuk keselamatan kerana kami ada anak-anak kecil dan bimbang dengan kehadiran haiwan berbisa atau buas, ketika ini saya masih berpantang sejak melahirkan bulan lalu,” katanya.

Operasi pemantauan menggabungkan lima agensi utama daerah daripada PDRM, ATM, APM, BOMBA dan RELA.

Sebagai makluman, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinabatangan telah melaksanakan operasi pemantauan banjir di Kampung Bilit melibatkan lima agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

-RJ-

Tinggalkan komen anda