Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Gerai Simpang Empat Kunak, Destinasi Wajib Singgah Untuk Jajan Sabah

By 12 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Priscilla Chong/Muhd Yusuf MD Asis (Kunak)

KUNAK, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Gerai-gerai jajan simpang empat di Kunak menjadi destinasi popular bagi penduduk tempatan dan pelancong untuk singgah sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke arah pantai barat Sabah.

Konsep gerai kampung dengan pelbagai produk makanan tradisional tempatan terutama keropok amplang pelbagai perisa pastinya cukup untuk menarik perhatian sesiapa sahaja untuk singgah termasuk bas ekspres dan van yang membawa pelancong.

Rating (kanan) ketika ditemu bual di gerainya di simpang empat, Kunak.

Sembilan tahun berniaga jajan, Rating Muhammad, 40, berkata beliau sering menerima kunjungan pelanggan dari pelbagai pelusuk negeri termasuk pelancong asing yang sememangnya berminat untuk merasai sendiri keenakan jajan tempatan.

“Saya berasa bangga kerana dapat mempromosikan jajan tempatan kepada orang luar. Setiap hari, saya bertemu dengan pelanggan yang datang dari pelbagai tempat dan saya sentiasa mencadangkan jajan yang sesuai dengan cita rasa mereka.

“Antara jajan yang paling mendapat sambutan tinggi di gerai saya adalah keropok amplang, kuih cincin, dan kerepek ubi. Jajan-jajan ini sering menjadi pilihan utama pelanggan dan sentiasa habis terjual setiap hari,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini hari ini.

Antara jajan yang popular di gerai simpang empat Kunak termasuk keropok amplang, kuih cincin dan kerepek.

Tambahnya, jajan di gerai simpang empat kini mempunyai penggemarnya tersendiri sehingga ada yang datang hanya untuk membeli jajan di gerai-gerai berkenaan sebagai buah tangan untuk di bawa pulang atau merakamkan gambar kenangan.

“Ada juga pelanggan yang membeli jajan sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang kepada keluarga dan rakan-rakan mereka. Mereka sering menyatakan bahawa jajan dari gerai ‘simpang empat’ ini menjadi tanda ingatan yang istimewa, membawa cita rasa unik Sabah yang sukar ditemukan di tempat lain,” ujarnya.

Salah seorang pelanggan, Esse Andi Appil, 51, berkata beliau sering diminta oleh rakan-rakan di Semenanjung Malaysia untuk membawa pulang jajan dari Sabah, terutama keropok amplang dan kuih cincin.

Deretan gerai-gerai jajan yang terdapat di simpang empat Kunak.

“Rakan-rakan dan keluarga sering meminta saya membeli jajan dari Sabah setiap kali saya pulang ke Semenanjung, terutamanya keropok amplang dan kuih cincin.

“Saya rasa bangga dapat membawa sedikit sebahagian daripada budaya dan cita rasa tempatan untuk dikongsi bersama rakan-rakan dan keluarga di Semenanjung,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda