Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Program Khatan Perdana Eratkan Silaturahim Komuniti di Gua Musang

By 4 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar

GUA MUSANG, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 50 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun menyertai Program Khatan Perdana anjuran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang berlangsung di Masjid Jeram Tekoh, di sini pagi semalam.

Sumbangan daripada ADUN Nenggiri kepada peserta berkhatan.

Imam Tua Masjid Jeram Tekoh Fakri Mohamad, berkata kehadiran ibu bapa dan peserta menunjukkan komitmen masyarakat dalam memastikan kesihatan dan kebersihan anak-anak, selaras dengan tuntutan agama dan amalan perubatan moden.

“Berkhatan bukan sekadar satu tuntutan sunnah, tetapi ia juga memberi banyak manfaat dari segi kesihatan,” katanya.

Pengurus Besar KESEDAR Gua Musang W Muhd Rahimi Wan Salleh, berharap program seperti ini perlu diteruskan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti.

“Anak-anak yang berkhatan hari ini adalah wira kecil yang melangkah ke fasa kehidupan yang lebih matang,” katanya.

Acara khatan dimulakan dengan gimik daripada pasukan bomba Balai Bomba Gua Musang yang menyembur air kepada sekumpulan peserta yang berdebar-debar menanti giliran mereka.

Imam Tua Fakri Mohamad memimpin solat dan doa sebelum program bermula.

Salah seorang peserta Muhammad Firman Rozali, 11, turut berkongsi pengalamannya.

“Pada awalnya saya rasa takut dan gementar, tetapi apabila berkhatan bersama rakan-rakan, rasa takut itu hilang dan saya jadi lebih teruja,” katanya.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan dihadiri oleh lebih 300 penduduk setempat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda