Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Dari Ukiran Ais ke Kebun: Chef Farhan Bangkit Semula

By 2 Mei 202524 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farehah Ahamad (Raub)

RAUB, 2 Mei (MalaysiaAktif) – Siapa sangka impak pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu telah mengubah haluan hidup ramai individu, termasuk Muhammad Farhan Reza Hashim Zabar, 28, seorang pengukir ais dan chef berpengalaman yang kini mengusahakan kebun sayur di kampung halamannya.

Bekas pelajar kulinari dari Metro Politeknik Kuantan ini pernah mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat gangsa dalam pertandingan Thailand Ultimate Challenge 2019 dan pingat perak di 10th Salon Culinaire 2018 di Bali, Indonesia.

Farhan bersama hasil tanaman di kebunnya

Namun, semuanya berubah apabila industri kulinari dan acara lumpuh sepenuhnya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya memang minat seni ukiran ais, tapi bila semua majlis dibatalkan semasa pandemik dulu dan restoran ditutup, saya tiada pilihan, terpaksa berhenti dan fikir cara baru untuk teruskan hidup,” kata Farhan ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini, hari ini.

Kini beliau mengusahakan tanaman sayur di Kampung Simpang Kallang dan di Durian Sebatang.

Walaupun beralih ke bidang pertanian, semangat dan disiplin sebagai chef masih terbawa dalam rutin hariannya dan ternyata usahanya tidak sia–sia apabila beliau terpilih menerima geran Agropreneur Muda daripada kerajaan.

“Saya anggap kebun ni macam dapur juga, kena bersih, teratur dan sabar, ilmu memasak masih saya guna, cuma sekarang saya tanam bahan mentah sendiri,” ujarnya sambil tersenyum.

Farhan tetap menyimpan impian untuk kembali ke dunia ukiran ais dan kulinari professional jika diberi peluang.

“Kalau ada tajaan atau pihak yang sudi bantu, saya memang mahu kembali ke dunia kulinari dan ukiran ais kerana seni itu masih dalam jiwa saya,” katanya penuh semangat.

Kini, beliau menjadi inspirasi kepada anak muda kampung untuk melihat pertanian sebagai satu bidang yang berharga dan berpotensi besar.

-AA-

Tinggalkan komen anda