
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Golongan belia di Sabah disaran agar berani tampil sebagai pemain utama dalam industri makanan negara.
Aspirasi itu dilihat sejajar dengan keperluan memperkukuh keterjaminan makanan dan membina daya tahan ekonomi tempatan menerusi pemerkasaan tenaga mahir tempatan.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata belia Sabah wajar diberi lebih banyak ruang dan bimbingan untuk menyumbang secara langsung dalam sektor pertanian dan penternakan moden.

Andi ketika menyampaikan sijil Kursus Asas Ternakan Ayam Telur kepada peserta di Dewan Arena Belia, Tawau.
“Kita tahu keterjaminan makanan kini menjadi dasar utama negara, maka belia harus diberi ruang dan bimbingan agar mereka dapat menjadi sebahagian daripada solusi. Kursus ini bukan sekadar memperkenalkan teknik penternakan ayam telur, malah turut membuka jalan kepada belia untuk menceburi bidang agropreneur dengan lebih serius.
“Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menawarkan geran sehingga RM30,000 bagi usaha dalam bidang penternakan, peladangan dan perikanan,” katanya ketika merasmikan Kursus Asas Ternakan Ayam Telur di Dewan Arena Belia di sini, pada Ahad.

Suasana sepanjang Kursus Asas Ternakan Ayam Telur anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah bersama agensi rakan strategik.
Tambah beliau, kejayaan beberapa usahawan muda dalam bidang penternakan ayam dan itik sebelum ini wajar dijadikan inspirasi untuk memperluaskan lagi sumber makanan negara yang pelbagai dan mampan.
“Usaha sebegini bukan hanya membina daya tahan makanan negara, malah mencipta peluang ekonomi baharu buat anak muda Sabah.
“Dengan itu, sinergi antara agensi kerajaan, NGO dan komuniti belia terus diperkukuhkan demi membina ekosistem pertanian dan penternakan yang lestari,” ujarnya.

Anak-anak ayam telur yang diserahkan kepada peserta sebagai sebahagian latihan praktikal dan galakan permulaan agropreneur, kelmarin.
Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kerjasama Gabungan Belia Bahagian Tawau, Jabatan Veterinar Sabah dan KBS Persekutuan itu disertai 27 orang belia dari seluruh kawasan Tawau.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan belia Sabah dalam sektor keusahawanan dan keterjaminan makanan, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang inklusif dan berpaksikan rakyat.
-RJ-





