
Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)
ALOR SETAR, 26 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 20 orang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Korok Lama diberi pendedahan untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan kemudahan awam sambil mempelajari aspek geografi dan sosial masyarakat.
Pelajar bersama guru-guru pengiring dan ibu bapa telah menaiki kereta api dari Alor Setar ke Butterworth, sebelum menaiki feri ikonik merentas laut menuju ke Georgetown.
Menurut Penolong Kanan Program Pendidikan Khas Intergrasi SKSKL Asmunir Ibrahim, lawatan pendidikan yang penuh meriah ke Pulau Pinang pada 23 dan 24 Julai lalu itu bukan sahaja berfungsi sebagai aktiviti kokurikulum, malah sebagai satu bentuk terapi pembelajaran luar kelas.
“Anak-anak ini belajar dengan melihat, menyentuh dan mengalami sendiri. Ia akan memberi kesan positif kepada perkembangan emosi, sosial dan fizikal mereka,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Sepanjang lawatan dua hari satu malam itu, peserta dibawa melawat beberapa destinasi menarik dan berinformasi di sekitar negeri Pulau Pinang.
Menurut Asmunir, lawatan tersebut memberi impak besar kepada pembangunan sahsiah dan keyakinan diri pelajar.
“Ia juga memperkukuh jalinan silaturahim antara komuniti sekolah dan ibu bapa, selari dengan pendekatan pendidikan inklusif yang menyeluruh dan menyentuh hati,” katanya.

Keterujaan dapat melihat pemandangan Pulau Pinang dengan menggunakan teropong di Bukit Bendera.
Antara tempat tumpuan yang dilawati adalah Bukit Bendera, di mana pelajar berpeluang menikmati pemandangan indah dari puncak dan menaiki kereta kabel.
Para pelajar turut dibawa ke menara KOMTAR yang merupakan mercu tanda Pulau Pinang dan turut diberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pembangunan bandar dan sejarah tempatan.
Mereka turut di bawa ke Padang Kota Lama dan Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) di Batu Maung di mana pelajar melihat sendiri spesis ikan laut dan mendapat pendedahan tentang usaha pemuliharaan laut.
-RI





