Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

1,000 Jalur Gemilang Dikibarkan Tanda Semangat Cintakan Negara Malaysia

By 21 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marshita Othman/Nur Amielia (Kerian)

PARIT BUNTAR, 21 Ogos (MalaysiaAktif) – Pelbagai cara rakyat Malaysia menzahirkan semangat patriotik terhadap negara terutama apabila menjelangnya sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun.

Pesara Jaafar Othman, 63, mempunyai cara tersendiri untuk menterjemah rasa syukur, setia dan sayang terhadap kemakmuran tanah air di samping menghayati Bulan Kebangsaan.

Sebanyak 1,000 Jalur Gemilang pelbagai size dihiasi di kediaman Jaafar Othman.

Menurutnya, aktiviti menghias rumah kediamannya dengan pelbagai gaya berkonsepkan kemerdekaan telah bermula sejak 25 tahun yang lalu.

“Dengan modal RM3,000 hingga RM4,000, saya akan memasang kira-kira 1,000 bendera Malaysia pelbagai saiz dan menggunakan barangan terpakai yang saya ubah suai mengikut kesesuaian dengan hiasan sempena sambutan kemerdekaan yang ke-68,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini semalam.

Beliau juga turut mempamerkan replika Jam Besar Parit Buntar yang merupakan mercu tanda bagi daerah Kerian sebagai salah satu cara untuk menonjolkan keunikan hiasan di samping Jalur Gemilang sebagai elemen utama ideanya.

Barang terpakai juga diolah semula untuk hiasan.

Tambahnya lagi, persiapan bagi menyempurnakan hiasan tersebut hanya mengambil masa selama dua minggu dengan bantuan isterinya, Norlia Hashim.

“Segala persiapan ini hanya direka khas sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan semuanya akan disimpan balik secara rapi untuk digunakan semula pada tahun berikutnya,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda