
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 21 Ogos (MalaysiaAktif) – Siapa sangka ratusan bunga ros yang mekar indah di Eyka Rose Garden (ERG), di sini bukanlah sekadar nurseri jualan bunga, malah sebuah restoran unik yang mengetengahkan konsep menikmati hidangan dalam taman beraroma segar bunga itu.
Pemilik ERG, Anasika Zainal nekad membuka restoran berkonsepkan taman ros di Pekan Pendang dengan modal permulaan sebanyak RM40,000 hasil simpanan sendiri.

Suasana di dalam Eyka Rose Garden.
Kini beliau mampu menarik nafas lega apabila perniagaan yang diusahakan semakin berkembang maju sehingga mempunyai lima orang pekerja tetap.
“Orang ramai yang ingin merasai pengalaman menjamu selera sambil menikmati aroma segar bunga ros dialu-alukan berkunjung ke sini yang beroperasi setiap hari kecuali Selasa, dari 5 petang hingga 11 malam,” katanya kepada MalaysiaAktif, baru-baru ini.
Salah seorang pelanggan setia ERG, Nur Atikah Ibrahim, 31, berkata beliau sering berkunjung ke situ untuk menjamu selera sambil meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga.
“Antara menu istimewa yang menjadi pilihan saya di sini ialah Tom Yam Padu, Chicken Chop Juicy, Shell Out, nasi lemak dan pelbagai hidangan lain yang ditawarkan dengan harga serendah RM6,” katanya.

Eyka Rose Garden menjadi pilihan orang ramai menjamu selera sambil menikmati aroma bunga ros yang segar.
Selain menjadi destinasi santapan keluarga, restoran berkenaan turut menjadi pilihan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta serta sekolah untuk menganjurkan majlis rasmi dan program khas, termasuk majlis perkahwinan.
Sementara itu, Anasika menyeru golongan muda agar berani menceburi bidang keusahawanan kerana kerajaan katanya sentiasa menyediakan pelbagai bentuk sokongan, termasuk inisiatif pinjaman dan khidmat nasihat bagi menyokong usahawan baharu mengembangkan perniagaan.
-RI





