
Laporan/ foto: Mohamad Farid Izwan (Sarawak)
LUNDU, 23 Ogos (MalaysiaAktif) – Festival Tari dan Lagu Melayu Asli (FTLA) Sarawak ke-35, 2025 yang membuka tirai bagi Zon Selatan di Dewan Centexs Lundu semalam kembali dengan penuh warna-warni sebagai wadah penting mempersembahkan keindahan seni warisan bangsa.

Gandingan gerak dan gaya, menyerlahkan indahnya budaya lama.
Penganjuran ini sekali gus membuktikan bahawa generasi muda kini menjadi pemangkin utama dalam memastikan tarian tradisional dan lagu Melayu asli terus hidup subur serta diwarisi oleh generasi akan datang.
Festival yang berlangsung secara zon di seluruh Sarawak, merangkumi Lundu, Mukah, Betong dan kawasan tengah negeri, menjadi platform penting untuk memperlihatkan keberanian serta kreativiti generasi muda.
Pelbagai bakat diketengahkan melalui persembahan yang memukau, menggambarkan kesungguhan mereka dalam memartabatkan budaya dan warisan negeri.
Antara tarikan utama ialah tarian penuh lenggok tradisi yang mempesona serta alunan lagu Melayu asli yang merdu. Setiap persembahan bukan sahaja memaparkan keindahan irama warisan, tetapi juga membuktikan bahawa seni tradisi terus hidup segar dan relevan hingga ke hari ini.

Vanessa, salah seorang peserta tarian tradisional Melayu Sarawak FTLA Zon Sarawak 2025.
Menurut salah seorang peserta tarian, Vanessa Lynn Subi, 16, penyertaan dalam FTLA 2025 merupakan pengalaman yang amat berharga kerana berpeluang menimba ilmu serta menghayati seni budaya warisan bangsa, khususnya melalui tarian tradisional Melayu Sarawak dan tarian kreatif etnik Melayu yang dipersembahkan.
“Setiap gerak tari bukan sekadar langkah dan lenggok semata-mata, tetapi tersirat makna tentang adab, jati diri dan kebanggaan sebagai generasi pewaris.
“Saya juga berasa amat bertuah kerana terpilih untuk mementaskan tarian dalam festival kali ini, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha memartabatkan seni tradisi ke pentas yang lebih luas,” katanya lagi.

Ahmady, figura muda yang memperjuangkan lagu Melayu asli di FTLA Edisi Ke-35.
Sementara itu, Ahmady Mohd Spuan, 35, meluahkan rasa teruja kerana diberi peluang menonjolkan bakatnya apabila sebelum ini beliau lebih sinonim dengan genre lagu klasik namun kali ini beliau tampil mencabar diri dengan membawakan lagu Melayu asli yang menuntut ketelitian teknik vokal dan penghayatan yang lebih mendalam.
“Saya berasa bersyukur dan sangat teruja kerana diberi peluang sekali lagi untuk menyertai FTLA walaupun membawakan lagu Melayu asli sememangnya lebih mencabar berbanding lagu klasik kerana menuntut ketelitian dalam setiap teknik pembawaan serta penghayatan yang mendalam, namun cabaran inilah yang mendorong saya untuk terus mencuba dan memperkukuh keindahan tradisi lagu Melayu,” jelasnya.
Penganjuran FTLA tahun ini mengetengahkan tema “Menari dengan Adat, Melangkah dengan Martabat”, yang bukan sahaja memberi peluang kepada anak muda untuk menunjukkan bakat, tetapi juga mendidik mereka tentang nilai budaya yang tersirat di sebalik seni warisan bangsa.

Nurhamimah Bohan antara peserta lagu Melayu asli FTLA Zon Sarawak 2025.
Lebih daripada sekadar pertandingan, FTLA 2025 menjadi jambatan yang menghubungkan generasi terdahulu dengan generasi kini, melalui irama biola, petikan gambus dan paluan gendang yang mengiringi setiap persembahan.
Dengan sokongan masyarakat dan agensi kerajaan, Festival Tari dan Lagu Melayu Asli 2025 membuktikan bahawa seni tradisi mampu terus diperkasa dan dipelihara, manakala generasi muda tampil sebagai pemangkin yang memastikan warisan bangsa ini tidak hanya kekal, tetapi terus berkembang di persada dunia.
-RJ-





