
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Tuaran)
TUARAN, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Selain rumah tradisi, kehadiran dua ekor kuda berhias bernama Malkita dan Tenaga Gadis berjaya mencuri tumpuan pengunjung Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025, di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, Sabtu lepas.
Kuda yang dipakaikan dengan perhiasan kuda melambangkan tradisi masyarakat Bajausama itu menyediakan platform kepada pengunjung merasai pengalaman menunggang kuda selain merakamkan gambar kenang-kenangan.

Jamlin (kiri) dan Rusman (kanan) ketika ditemui di lokasi program, kelmarin.
Pengurus Kuda Berhias daripada Persatuan Rumpun Bajausama Kuala Belud, Jamlin Abdul Salam, 63, percaya kuda tersebut adalah simbol kebanggaan masyarakat Bajausama yang perlu untuk diangkat sejarahnya kepada masyarakat yang lebih luas.
“Perasaan saya bangga sebab kita di Kota Belud saja yang ada macam ini. Dulu, kalau majlis kahwin pun naik kuda, diiring ramai-ramai. Sekarang pun masih ada lagi budaya usungan naik kuda untuk orang kahwin. Kuda telah menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Bajau sejak turun-temurun.
“Kuda bukan sekadar tunggangan, ia melambangkan maruah dan keberanian orang Bajau. Dulu kuda digunakan untuk bekerja dan berarak, sekarang kita tunjukkan pada generasi muda supaya mereka tahu sejarahnya. Kalau kita tidak teruskan, lama-lama budaya ni akan hilang,” katanya kepada MalaysiaAktif.
Mengenang kemabali tradisi nenek moyang terdahulu, Jamlin berkata perarakan kuda berhias kebiasaannya akan dijadikan sebagai elemen penting menyambut kehadiran pemimpin negara.
“Dahulu orang tua saya cerita, kalau pemimpin dari Semenanjung datang, kita sambut pagi-pagi dengan kuda lengkap persalinan, bawa ‘bujak’ dan lembing tapi sekarang tinggal cerita saja, alangkah baiknya kalau masih dikekalkan.
“Kali ini kita bawakan ke festival ini, tahun ini kita buat lagi sebab permintaan banyak dan pengunjung boleh merasai pengalaman menunggang serta bergambar dengan kuda berhias itu dengan bayaran RM5 tanpa kostum atau RM10 jika lengkap berpakaian tradisional, termasuk dua pusingan menunggang,” ujarnya.

Muhammad Rafiqi menikmati pengalaman menaiki kuda berhias dengan senyuman ceria.
Seorang pengunjung, Rusman Sham Muhammad Shah, 50, berkata festival itu menjadi medan terbaik memperkenalkan budaya Bajau kepada anaknya, Muhammad Rafiqi Iman, 7, yang juga pertama kali menunggang kuda berhias.
“Memang dia suka, tak takut pun. Kami datang khas untuk tengok kebudayaan Bajau. Program macam ini memang baik untuk memartabatkan suku kaum, terutama Bajau.
“Kalau bagi saya, setiap tahun kami memang datang ke Festival Kebudayaan Bajausama ni. Biasanya kami di sini tiga hari. Festival ini bukan saja menghiburkan malah mengukuhkan budaya Bajausama dan saya setuju program ini diteruskan supaya generasi muda tak lupa asal-usul,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Rafiqi Iman mengakui pengalaman menunggang kuda berhias sesuatu yang mengujakan.
“Seronok sekali dapat menunggang kuda. Saya teruja dan rasa ingin mencubanya lagi kerana langsung tidak berasa takut,” ujarnya.
Festival itu turut menampilkan pelbagai acara lain seperti pameran budaya, Pertandingan Ratu Serimpak, makanan tradisional dan persembahan seni, menjadikan suasana meriah sepanjang empat hari penganjuran.
-RJ-





