
Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Muhammad Al-Tarmizi (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 7 Ogos (MalaysiaAktif) – Usaha Kasih MADANI anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri di Balai Komuniti Taman Kota Jaya, di sini adalah sebahagian daripada Inisiatif Kesejahteraan Rakyat MADANI (IKRaM) yang menekankan kepada padanan kerjaya serta peningkatan pendapatan dalam kalangan golongan miskin dan miskin tegar.
Program hasil kerjasama strategik Farm Fresh Milk Sdn. Bhd. dan Bank Muamalat Malaysia Berhad itu semalam merupakan ikhtiar untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat golongan B40 melalui platform keusahawanan.

Norasikin menyerahkan set perniagaan Moola Farm Fresh kepada peserta.
Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Johor Datin Norasikin Noordin, berkata daerah Kota Tinggi dipilih sebagai perintis program tersebut bagi negeri Johor.
“Program ini bertujuan meningkatkan sumber pendapatan peserta serta menjadi asas kepada simpanan masa hadapan mereka. Setiap peserta menerima set permulaan perniagaan dan menghadiri bengkel keusahawanan sebagai persediaan untuk memulakan perniagaan,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian.
Seramai 10 peserta eKasih di daerah berkenaan dipilih menyertai program tersebut, yang membolehkan mereka menerima produk Farm Fresh bernilai RM1,000 serta kit permulaan berjumlah RM500 setiap seorang.

Peserta program Usaha Kasih MADANI.
Selain itu, peserta juga akan dipantau secara berterusan selama 12 bulan bagi memastikan keberkesanan dan kelangsungan perniagaan yang dijalankan.
Salah seorang peserta, Nor Hasyimah Sani, 34, melahirkan rasa syukur kerana dipilih mengikuti program berimpak tinggi itu.
“Saya amat bersyukur kerana terpilih. Saya berharap dengan ilmu dan bantuan ini, pendapatan saya akan meningkat sekali gus dapat membantu memperbaiki taraf hidup keluarga kami,” katanya.
Turut hadir Pengurus Deposit Bank Muamalat Azizul Joy Aziz dan Pengarah Urusan Stokis Farm Fresh Dr. Izzati Ismail.
-RI





