
Laporan/foto: Noor Aini/Siti Nur Balqis
KUALA PERLIS, 7 Ogos (MalaysiaAktif) – Suasana penuh semangat patriotik menyelubungi Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, di sini apabila menjadi lokasi persinggahan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Perlis.

Tarian Singa menjadi tirai bermula nya KMJG 2025 Peringkat Negeri Perlis.
Majlis gilang-gemilang menyambut ketibaan konvoi dari negeri Kedah di Kampung Pauh Setia petang semalam itu diiringi tarian singa, simbol permulaan sambutan Bulan Kebangsaan yang sentiasa diraikan dengan penuh rasa bangga oleh rakyat negeri ini.
“Perlis mungkin negeri paling hujung utara di dalam peta, tetapi semangat rakyatnya sentiasa berada di hadapan dalam menyambut bulan kemerdekaan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan Gan Ay Ling ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.
Gan turut menyampaikan penghargaan terhadap semangat cinta akan negara yang ditunjukkan rakyat Perlis.
Menurut guru besar sekolah Suzaide Md Noh, pihaknya berbesar hati menjadi tuan rumah kepada program berprestij itu dan berbangga kerana dapat memainkan peranan dalam menyemarakkan semangat kebangsaan dalam kalangan murid, guru dan komuniti.
“Kami sentiasa menyokong usaha memupuk semangat patriotik di peringkat akar umbi dan penyertaan aktif murid-murid dalam persembahan dan protokol majlis adalah satu pengalaman pembelajaran yang amat bermakna,” katanya.

Lagu Jalur Gemilang dinyanyikan penuh bersemangat.
Persembahan pembukaan oleh pelajar SK Kayang semasa menyambut ketibaan konvoi KMJG yang terdiri daripada 30 Kelab Skuter Perlis, 14 buah kenderaan daripada jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan dan Komuniti MADANI Perlis turut mencuri perhatian hadirin.
Acara yang membawa mesej utama kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dengan menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan bendera di premis masing-masing sepanjang bulan Ogos ini turut menyaksikan penyertaan aktif daripada pelajar, guru, komuniti setempat dan pelbagai agensi dalam usaha menyemarakkan nilai patriotisme.
KMJG 2025 di Perlis berlangsung selama dua hari sehingga hari ini sebelum diteruskan ke negeri-negeri lain dengan membawa tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.
Turut hadir ialah barisan pemimpin tempatan, penjawat awam, wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta penduduk sekitar.
-RI





