
Laporan/foto: Mohd.Yusof Abd.Samad/Nor Sofian Abdul Manan (Segamat)
SEGAMAT, 13 Sep (MalaysiaAktif) – Penyampaian Bantuan Bencana Gempa Bumi kepada mangsa gempa di daerah ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Kerajaan Negeri Johor kepada seluruh rakyatnya.

Antara penerima bantuan yang hadir.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip, berkata bantuan bencana ini diberikan berdasarkan laporan serta pendaftaran mangsa yang terlibat, seramai 62 mangsa terlibat dalam bencana ini.
“Walaupun bantuan ini bukan jumlah yang besar namun ia mampu membantu mengurangkan bebanan serta tekanan yang dihadapi mangsa.
“Kerajaan Johor dengan sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan bantuan kewangan ini untuk mangsa gempa bumi bukan sahaja di daerah ini malah diberikan juga bantuan di daerah Batu Pahat berdasarkan kemampuan negara setakat ini,” katanya, di sini semalam.

Salah seorang penerima bantuan bencana, Chew Hok Hui.
Salah seorang penerima bantuan Chew Hok Hui, 52, yang hadir di Perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Segamat, melahirkan rasa gembira atas pemberian ini.
“Bantuan ini dapat meringankan tekanan serta bebanan yang dihadapi ketika ini,” katanya.
Amirul Ashraf, 35, dari Kampung Tengah bersyukur atas bantuan yang diberikan.
“Walaupun bantuan diterima bukan jumlah yang besar, namun jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap musibah yang melanda rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Turut hadir Pegawai Daerah Segamat Mohamad Ezzuddin Sanusi dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pemanis Anuar Abdul Manap.
-RI





