
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 14 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 Peringkat Komuniti MADANI Kampung Batu 16, di sini berlangsung penuh meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum termasuk Melayu, Cina dan Siam yang bersama-sama menyemarakkan semangat patriotisme, semalam.

Jawatankuasa Komuniti MADANI bersama Suraya Yaacob.
Program yang bertujuan meraikan kemerdekaan itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka kanak-kanak dan dewasa, peraduan mewarna bertemakan merdeka, aktiviti senamrobik, taici, gotong-royong menghias kampung dengan Jalur Gemilang, nyanyian lagu patriotik, kibaran Jalur Gemilang, pemeriksaan kesihatan, kaunter perkhidmatan agensi dan Jualan Rahmah MADANI yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Salah seorang pengunjung Ting Yak Seng, 64, berkata beliau terharu melihat kemeriahan sambutan yang dihadiri pelbagai kaum dan agama sekali gus membuktikan kebersatuan rakyat Malaysia dalam meraikan kemerdekaan.
“Melihat kemeriahan sambutan pada hari ini, saya berbangga menjadi warganegara Malaysia kerana walaupun berbeza agama dan bangsa, namun kita tetap bersatu dalam semangat cintakan tanah air,” ujarnya.

Sebahagian peserta yang hadir.
Memegang prinsip perpaduan sebagai asas keharmonian negara, Setiausaha Politik kepada Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Malaysia Datuk Suraya Yaacob menyeru seluruh rakyat terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan.
“Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah hasil pengorbanan pemimpin terdahulu yang berusaha mewujudkan perpaduan rakyat tanpa mengira kaum dan kita semua bertanggungjawab dalam mempertahankan keamanan serta mengukuhkan semangat Malaysia MADANI demi masa depan generasi akan datang,” katanya ketika berucap.
Penganjuran sambutan itu membuktikan kepelbagaian kaum bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan utama dalam membina sebuah negara bangsa yang harmoni, maju dan berdaulat.
-RI





