
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/ Jackson Abell ( Sarawak)
BAU, 6 Sep (MalaysiaAktif) – Program Gerak Grinas 2025 anjuran Biro Wanita Kampung Segong berlangsung meriah di dewan serbaguna kampung tersebut hari ini.
Pelbagai pengisian menarik memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran golongan wanita berhubung kesihatan diri, keluarga dan komuniti.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak Datuk Henry Harry Jinep menyeru penduduk kampung terutamanya wanita agar sentiasa mengamalkan budaya mengambil berat tahap kesihatan diri dengan mengikuti program kesedaran kesihatan diri seperti Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita, Program Saringan Kanser Serviks dan Program Subsidi Ujian Mamogram.

Henry mengucapkan tahniah kepada penganjur dan peserta yang menjayakan program.
Beliau juga menekankan mamogram penting sebagai prosedur pemeriksaan saringan sinar-x yang dilakukan untuk mengesan peringkat awal kanser payudara.
“Semua wanita yang berumur 40 tahun ke atas perlu menjalani pemeriksaan ini.
“Mamogram dapat mengesan kanser payudara pada peringkat awal iaitu sebelum ketumbuhan dapat dirasai pada payudara dan juga berkesan untuk meneliti kesihatan am payudara,” kata Henry lagi.
Terdahulu, Ketua Kampung Segong Amy Munga dalam ucapan aluan memaklumkan selain ceramah daripada pegawai Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), pertandingan gubahan bunga, cabutan bertuah dan sukaneka menjadi wadah menyatukan penduduk dan memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan selain menekankan kepada aspek kesihatan diri.

Penduduk Kampung Segong hadir di dewan kampung sebagai tanda sokongan dan menjayakan program.
“Perancangan rapi dan komitmen semua pihak memperlihatkan hasilnya pada hari ini iaitu program yang dianjurkan mendapat sambutan baik dari wanita kampung ini,” ujarnya.
Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, ketua jabatan,ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) Daerah Bau turut hadir memberi sokongan sekali gus memeriahkan program tersebut.
-RJ-






