Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sayangi Pantai, Sayangi Miri: Sukarelawan Bersatu Ceriakan Pantai Brighton

By 13 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Philip Johnny (Sarawak)

MIRI, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Cuaca panas pada sebelah pagi tidak menghalang lebih 150 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan, wakil media, pihak swasta serta masyarakat setempat untuk menyertai Kempen Pembersihan Pantai 2.0 bertemakan “Sayangi Pantai, Sayangi Miri” di Pantai Brighton, semalam.

Kempen anjuran bersama Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu bukan sekadar aktiviti gotong-royong, tetapi turut membawa semangat kebersamaan dalam usaha melestarikan alam sekitar.

Pendaftaran peserta seawal jam 6 pagi di Pantai Brighton, Miri.

Program kali ini berjaya mengumpulkan lebih 2,000 kilogram bahan buangan di sepanjang pesisir Pantai Brighton.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, yang hadir merasmikan program tersebut, menyifatkan penyertaan ramai sukarelawan sebagai bukti bahawa semangat cintakan bumi masih menebal dalam diri warga Miri.

“Setiap usaha kecil seperti ini membawa makna besar. Apabila setiap warga Miri mengambil peranan menjaga kawasan sekeliling, bandar kita bukan sahaja lebih bersih dan indah tetapi juga lebih harmoni untuk didiami,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pemuliharaan alam sekitar merupakan komitmen sepanjang hayat, bukan sekadar aktiviti tahunan sejajar dengan Wawasan Bandar Hijau dan Pintar Miri yang menekankan pembangunan mampan serta keseimbangan ekosistem bandar.

Dalam majlis sama, Adam Yii turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Penganjur Andy Jong Wan Joon dan Presiden NSJA Chai Chon Chin atas dedikasi mereka memastikan program berjalan lancar.

“Kerajaan tidak mampu melaksanakan semua ini sendirian. Hanya dengan sinergi bersama masyarakat dan rakan korporat, kita dapat membina sebuah bandar yang lestari dan berdaya tahan,” tambahnya.

Peserta bergerak beramai-ramai menuju ke lokasi untuk memulakan permbersihan pantai.

Bagi Syafuan Zaini, 45, yang turut menyertai kempen itu, program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

“Apabila kita turun sendiri ke lapangan, barulah kita sedar betapa pentingnya menjaga pantai. Ia bukan sekadar tempat rekreasi, tetapi juga habitat penting bagi hidupan marin. Saya harap program seperti ini diadakan lebih kerap agar kesedaran dapat terus disemai,” ujarnya.

Sampah dikutip dari sekitar kawasan pantai dan dikumpulkan dalam guni besar sebelum dibuang di kawasan pembuangan sampah.

Selain aktiviti pembersihan, kempen tersebut turut memberi fokus kepada pendidikan alam sekitar dan amalan gaya hidup hijau, termasuk pendedahan tentang kitar semula serta pengurangan penggunaan plastik.

-RJ-

Tinggalkan komen anda