
Laporan/ foto: Nur Arinnica Arif (Kluang)
KLUANG, 14 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 499 penerima bantuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol menerima manfaat melalui Program Penyampaian Bantuan Kasih Johor Inisiatif Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengerusi Yayasan Prihatin Kluang Datuk Jais Sarday menyantuni penerima inisiatif OKU
Daripada jumlah tersebut, 438 penerima adalah warga emas, manakala 61 penerima lagi adalah OKU berdaftar di bawah Pusat Dalam Komuniti (PDK).
Seorang penerima, Rajama Vatiligam, 75, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila menerima bantuan tersebut yang dianggap sangat bermakna menjelang sambutan perayaan Deepavali.
“Ini adalah bantuan yang belum pernah saya terima sebelum ini. Saya berasa sangat gembira kerana tidak lama lagi perayaan Deepavali akan tiba. Diharapkan bantuan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di Dewan Terbuka Taman Kluang Barat, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Prihatin Kluang Datuk Jais Sarday dalam ucapan perasmiannya menzahirkan rasa syukur atas komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus dijaga.

Seramai 499 penerima bantuan DUN Mengkibol menerima manfaat melalui Program Penyampaian Bantuan Kasih Johor Inisiatif Warga Emas dan OKU
“Kita bersyukur di Johor kerana walaupun berdepan isu seperti peningkatan kos sara hidup, negeri Johor kekal sebagai negeri yang sedang berkembang maju.
“Di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi), kerajaan negeri terus komited menyalurkan bantuan kepada rakyat melalui inisiatif Bantuan Kasih Johor,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kerajaan negeri turut memperkenalkan Jualan Kasih Johor sebagai salah satu langkah membantu rakyat mengurangkan beban perbelanjaan harian.
“Kerajaan negeri bukan sahaja menyalurkan bantuan tunai, malah turut menyediakan pelbagai inisiatif seperti Jualan Kasih Johor bagi membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup,” tambah beliau.
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Daerah Kluang Mohamad Kamil Helmi Mohd Pang.
-AA-





