
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 14 Okt (Malaysiaaktif) – RM220,000 diperuntukkan buat Labuan bagi melaksanakan program peningkatan kualiti pasca tuai dan nilai tambah perikanan laut dalam dan tuna serta industri hiliran di pulau berkenaan tahun ini.

Arthur bergambar kenangan bersama para penerima bantuan dan MyKP.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan Malaysia menyalurkan peruntukan itu ekoran kepentingan industri tuna kepada pembangunan sektor agromakanan negara.
“Peruntukan tersebut adalah merangkumi pemberian peralatan bagi membangunkan payao tuna oleh komuniti perikanan tuna tempatan serta pemberian peralatan bagi pemprosesan produk perikanan yang dilihat mampu meningkatkan pendaratan tuna dan meningkatkan ekonomi usahawan tempatan melalui pengeluaran produk berasaskan perikanan di Labuan.
“Industri tuna merupakan komponen penting dalam rantaian nilai sektor perikanan negara yang berperanan sebagai industri berimpak tinggi dalam pengeluaran hasil laut merangkumi aktiviti penangkapan, pendaratan, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan sejuk-beku dan pemasaran produk berasaskan tuna,” katanya semasa merasmikan Seminar Industri Tuna Labuan Tahun 2025, di sini semalam.

Arthur (kiri) beramah mesra bersama pemain industri tuna tempatan.
Jelasnya, Sabah kekal sebagai penyumbang utama dengan pendaratan dianggarkan sekitar 22,995 tan metrik bernilai hampir RM177 juta manakala Labuan merekodkan pendaratan sekitar 1,296 tan metrik bernilai hampir RM12 juta.
“Labuan kini melangkah ke hadapan dengan hala tuju baharu berteraskan ekonomi biru dan ekonomi kitaran, di samping perancangan untuk mewujudkan taman perindustrian bersepadu serta memperkukuh infrastruktur telekomunikasi seiring dengan hasrat menjadikan Labuan sebagai Pulau Bandar Pintar (Smart Island).
“Saya menyeru kepada semua usahawan dan pemain industri agar memperluas inovasi produk berasaskan tuna. Usaha ini dapat mengurangkan kebergantungan import, meningkatkan eksport serta merebut peluang dalam pasaran tuna global yang bernilai tinggi,” katanya.
-RI





