
Laporan/foto: Rahimah Rafiai/Norfaizah Adnan
KUALA LUMPUR, 16 Okt (MalaysiaAktif) – CIPTA Pertandingan Pereka Kraf Muda Barang Kemas 2025 menjadi platform penting dalam melestarikan kreativiti serta kemahiran belia dalam seni pertukangan logam halus.
Pertandingan yang berlangsung pada 4 dan 5 Februari lalu bukan sekadar medan persaingan, tetapi juga wadah mengiktiraf rekaan dan penghasilan produk yang menampilkan nilai estetika, inovasi serta potensi komersial dalam industri kraf negara.
Pertandingan yang terbuka kepada peserta berusia 18 hingga 30 tahun itu menerima sebanyak 97 penyertaan pada peringkat saringan yang diadakan pada September 2024.

Lu Yu Cheng dari Raffles College of Higher Education, Kuala Lumpur, dinobatkan sebagai juara dengan rekaan bertemakan Bola Takraw dan Kayu Kerawang, membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.
Lu Yu Cheng dari Raffles College of Higher Education, Kuala Lumpur, dinobatkan sebagai juara dengan rekaan bertemakan Bola Takraw dan Kayu Kerawang, membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.
“Saya masih tidak percaya dengan kemenangan ini. Ia membuktikan bahawa seni dan ketekunan mampu mencipta sesuatu yang bermakna,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pada Majlis Jalinan Media dan Apresiasi Strategik, di sini hari ini.

Tempat kedua dimenangi Abdul Rahman Abd Majid dari Institut Kraf Negara (IKN) dengan tema rekaan Bunga Tanjung.
Tempat kedua dimenangi Abdul Rahman Abd Majid dari Institut Kraf Negara (IKN) dengan tema rekaan Bunga Tanjung, membawa pulang hadiah RM2,000, manakala Muhammad Shafiq Mahadi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam muncul pemenang ketiga dengan rekaan Kunci Warisan dan menerima RM1,000 berserta trofi dan sijil.
Hadiah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Pertandingan itu sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa golongan muda melalui seni dan inovasi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memupuk masyarakat kreatif, berdaya saing dan beridentiti nasional.
-FN





