Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Warga Baling Rebut Peluang Barangan Segar Harga Rahmah di Jualan AgroMADANI

By 16 Oktober 2025November 4th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)

BALING, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Warga Baling dan kawasan sekitar hari ini berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga berpatutan menerusi Program Jualan AgroMADANI, anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling yang diadakan di perkarangan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) PPK Baling.

Orang ramai mengambil peluang membeli daging tempatan hanya RM20 sekilogram

Program ini sebagai inisiatif membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup dengan menawarkan barangan segar seperti daging, ayam, ikan, telur dan sayur pada harga diskaun sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Pengurus Besar PPK Baling, Effendi Mostafa berkata Jualan AgroMADANI turut membantu usahawan peladang memasarkan hasil dan produk mereka terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

“Contohnya, daging tempatan sekilo hanya RM20, jauh lebih murah daripada harga pasaran. Selain itu, beras, ayam, ikan, telur ayam, sayur dan barangan asas lain turut dijual dengan harga istimewa,” katanya kepada MalaysiaAktif ketika ditemui di tapak jualan.

Antara barangan keperluan harian yang mendapat sambutan, sayur sayuran hanya RM1

Salah seorang pengunjung, Marzita Md Hussain, 56, turut meluahkan rasa puas hati dengan harga yang ditawarkan.

“Saya sangat bersyukur, ayam seekor hanya RM8, telur ayam hanya RM10 sepapan, sayur pun segar-segar belaka. Kalau beli di kedai biasa memang lebih mahal. Program macam ini patut selalu dibuat,” katanya sambil tersenyum membawa pulang barangan keperluan.

Program Jualan AgroMADANI bukan sahaja memberi manfaat segera kepada pengguna, malah memperkukuh hubungan antara peladang, agensi kerajaan dan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, kesejahteraan dan keseimbangan ekonomi untuk semua lapisan masyarakat.

-AA-

Tinggalkan komen anda