
Laporan/foto: L. Allyshia/Illyati Ilham (Pahang)
KUANTAN, 5 Okt (MalaysiaAktif) – Himpunan Sumud Flotilla telah diangjurkan di negeri ini, kelmarin sebagai tanda solidariti bersama perjuangan Palestin dan sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Israel.

Antara yang hadir memberi sokongan kepada rakyat Palestin.
Himpunan bermula pada 2.30 petang itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa, belia dan komuniti setempat yang bersatu hati dalam menzahirkan sokongan terhadap Palestin.
Menurut wakil penganjur himpunan yang juga Setiausaha Agung Majlis Belia Pahang Nabil Fiqri Nor Azmi, himpunan itu bukan sekadar perhimpunan biasa, tetapi manifestasi sokongan moral rakyat Pahang terhadap saudara seagama di Palestin yang terus berjuang menuntut hak kebebasan mereka.

Ucapan penuh semangat oleh wakil NGO.
“Himpunan ini adalah suara rakyat Malaysia khususnya rakyat Pahang yang cintakan keadilan dan kemanusiaan dan kita ingin menunjukkan bahawa isu Palestin bukan isu asing, tetapi isu sejagat yang menuntut perhatian seluruh dunia,” katanya.
Ujarnya lagi, antara pengisian program termasuk ucapan pimpinan NGO, bacaan doa munajat serta laungan semangat solidariti yang menggema di sekitar masjid.
Beliau turut menyeru orang ramai agar konsisten memberi sokongan melalui pelbagai cara, sama ada kempen kesedaran, bantuan kemanusiaan mahupun doa berterusan untuk kesejahteraan rakyat Palestin.
-RI





