Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

1,000 Lembu Tenusu A2 Baka Jersey-Friesian Tiba di Johor, Lonjak Industri Tenusu Negara

By 2 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Mohd Zahid Othman/ Facebook Zahari Sarip (Johor)

PASIR GUDANG, 2 Nov (MalaysiaAktif) — Sebanyak 1,000 ekor lembu tenusu A2 baka Jersey-Friesian tiba di Pelabuhan Pasir Gudang selepas 14 hari tempoh pelayaran dari Australia bagi fasa pertama Projek Jemaluang Dairy Valley (JDV) di Mersing.

Zahari meninjau ketibaan 1,000 dari 4,000 lembu tenusu A2 baka Jersey-Friesian di Pelabuhan Pasir Gudang dari Australia setelah mengharungi perjalanan selama 14 hari

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata ketibaan lembu tenusu itu menandakan satu lagi kemajuan penting dalam usaha negeri memperkukuh sektor tenusu berteknologi tinggi dan berdaya saing.

“Proses ketibaan dan penghantaran lembu berkenaan ke Jemaluang diselia oleh Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. (JDVSB) dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing.

“Ini merupakan fasa pertama daripada keseluruhan 4,000 ekor lembu tenusu yang akan dibawa masuk secara berperingkat ke ladang JDV. Insya-Allah, perahan susu pertama dijangka bermula pada Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zahari berkata setiap lembu tenusu A2 mampu menghasilkan purata 35 liter susu setiap sesi perahan, dua hingga tiga kali sehari.

Sebanyak 1,000 dari 4,000 lembu tenusu A2 baka Jersey-Friesian tiba di Pelabuhan Pasir Gudang

Selain aktiviti penternakan, JDVSB turut merancang membangunkan Kilang Pemprosesan Susu Segar yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun 2027.

Tambah beliau, projek berimpak tinggi itu bukan sahaja akan menyumbang kepada peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran susu negara, malah berpotensi menjadi pemangkin kemajuan sosioekonomi setempat.

“Projek ini dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, melahirkan peladang satelit dalam kalangan pengusaha tempatan serta memperkenalkan konsep agro-pelancongan yang mampu mengangkat Mersing sebagai destinasi pelancongan agro utama di Johor,” katanya.

Zahari menegaskan pelaksanaan Projek Jemaluang Dairy Valley selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor, khususnya melalui pembangunan industri tenusu berskala besar dan berteknologi tinggi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah.

-AA-

Tinggalkan komen anda