
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
TANJUNGPINANG, 9 Nov (MalaysiaAktif) – Kerjasama Johor-Kepulauan Riau dalam bidang pembangunan dan pelancongan diperkukuh menerusi lawatan sambil belajar oleh rombongan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar ke Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Provinsi Kepulauan Riau (Kepri) Indonesia, di sini semalam.

Pandak turut menyerahkan risalah promosi Visit Johor 2026 kepada barisan anggota kepimpinan dewan DPRD Kepri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata lawatan tersebut turut disertai penghulu, ketua kampung serta ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan objektif memperkukuh hubungan serumpun dan menjalin perkongsian pengalaman dalam aspek pentadbiran tempatan.
“Alhamdulillah, hari ini saya dan rombongan dari DUN Kota Iskandar mengucapkan terima kasih atas sambutan mesra serta taklimat yang diberikan oleh Wakil Ketua I DPRD Kepri, Dewi Kumalasari, mengenai perkembangan di daerah Kepulauan Riau.
“Kita melihat banyak perkara yang boleh dilaksanakan bersama, dan ini membuktikan hubungan erat sebagai rumpun Nusantara dan hasil perbincangan dua hala mengenai urus tadbir dan pelancongan, dapat dijadikan rujukan untuk pelaksanaan di kawasan DUN Kota Iskandar, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.
Menurut Pandak rombongan turut berkesempatan menyampaikan risalah promosi Tahun Melawat Johor 2026 kepada pejabat Gabenor Provinsi Kepulauan Riau sebagai usaha memperkenalkan Johor sebagai destinasi pelancongan utama rantau ini.

Pandak memberi penerangan mengenai tempat-tempat menarik yang terdapat di negeri Johor dan wajib dilawati sempena Visit Johor 2026.
“Terima kasih kepada Tourism Johor atas kebenaran mengadakan lawatan ini yang amat bermakna serta menjadi pengalaman bersejarah dan menarik di Kepulauan Riau,” katanya.
Sementara itu, Dewi menyambut baik kunjungan tersebut dan menyifatkannya sebagai permulaan positif dalam memperkukuh hubungan serumpun, khususnya dalam bidang pembangunan dan pelancongan.
“Semoga kunjungan ini menjadi permulaan kepada kerjasama strategik antara dua wilayah, terutamanya bagi Provinsi Kepulauan Riau dan negeri Johor,” katanya.
Dewi turut memaklumkan bahawa Kepulauan Riau terus menunjukkan kemajuan pesat dalam pelbagai aspek pembangunan infrastruktur serta berpotensi besar untuk diterokai dalam sektor pelancongan.
“Potensi pelancongan Kepulauan Riau yang pesat berkembang diharap dapat membuka ruang pertukaran idea dan pelaksanaan program bermanfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.
-RI





