
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 23 Nov (MalaysiaAktif) – Hampir 400 sukarelawan majoritinya belia berjaya menanam 1,122 anak pokok bakau di Taman Ekologi Kinebenuwa pagi tadi melalui Inisiatif ALAM Be-Leaf anjuran Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan kerjasama MUFG Bank (Malaysia) Berhad (MUFG).
Menurut kenyataan BPMB, Labuan menjadi lokasi keempat pelaksanaan program itu selepas Terengganu, Perak dan Melaka pada tahun ini.
“Inisiatif itu dianjurkan menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti penjagaan alam sekitar selain meningkatkan kesedaran tentang pentingnya hutan bakau dalam melindungi pesisir, biodiversiti dan komuniti setempat.
“Penganjuran program ini turut menerima sokongan padu pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan rakan korporat termasuk Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Perbadanan Labuan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Yayasan PETRONAS serta Maybank International Labuan Branch (MILB),” menurut kenyataan itu semalam.
Tambahnya, ALAM Be-Leaf telah menanam lebih 3,000 pokok bakau dengan penglibatan 843 sukarelawan di seluruh negara.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh dalam ucapan perasmiannya mengajak masyarakat untuk menghargai anugerah hutan bakau yang ada di Labuan.
“Pokok yang kita tanam hari ini akan membesar, tetapi semangat yang kita tanam dalam diri kita iaitu semangat untuk terus menjaga alam Labuan itulah yang akan menentukan masa depan pulau ini.
“Jika kita terus bersama dalam usaha ini saya yakin Taman Ekologi Kinabenuwa akan kekal menjadi kebanggaan semua dan Labuan akan terus melangkah ke depan sebagai pulau yang hijau, sihat dan tahan lasak,” katanya.
-RI





