
Laporan / Foto : Joel Jale (Sarawak)
LIMBANG, 12 Nov (MalaysiaAktif) – Program Randau Keselamatan Negara yang diadakan di Dewan Kampung Limpaku Pinang, Limbang, semalam berjaya menghimpunkan peserta dari pelbagai agensi keselamatan dan komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya peranan rakyat dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.

Pengarah MKN Negeri Sarawak Mohammad Haffizie Putit sedang menyampaikan ucapan aluan pada program Randau Keselamatan Negara di sini, semalam.
Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak itu turut mendapat kerjasama erat pelbagai agensi termasuk seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Wakil kepada Residen Bahagian Limbang Mohd Sobree Damit ketika berucap pada majlis penutupan program, memuji inisiatif berkenaan yang disifatkannya sebagai platform penting mengukuhkan hubungan antara agensi keselamatan dan komuniti dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Mohd Sobree ketika berucap menekankan pentingnya kesedaran semua pihak dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara
“Pendekatan berasaskan rakyat atau people-centric security yang dilaksanakan melalui program ini selaras dengan Teras 8 Dasar Keselamatan Negara 2021–2025 iaitu memastikan penglibatan aktif rakyat dalam menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Beliau berkata keselamatan negara tidak hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat.
Katanya masyarakat, khususnya yang tinggal di kawasan pesisir dan sempadan merupakan benteng pertama dalam mencegah jenayah serta ancaman keselamatan.
“Semoga usaha yang dilaksanakan hari ini menjadi titik tolak kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara agensi keselamatan dan komuniti dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Sesi dialog turut diselit ketika taklimat diadakan oleh agensi keselamatan terlibat.
Program sehari yang dihadiri kira-kira 100 peserta itu, turut menampilkan sesi perkongsian ilmu oleh wakil agensi keselamatan, pameran agensi keselamatan dan dialog komuniti.
-RJ-





