Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sarawak Lancar Kedai AI Tanpa Penjaga Pertama di Malaysia

By 12 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan / Foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 12 Nov (MalaysiaAktif) – Sarawak mencipta sejarah apabila Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) melancarkan Kedai Pintar Tap & Go, kedai tanpa penjaga pertama di Malaysia yang beroperasi sepenuhnya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), di sini semalam.

Kedai pintar pertama, Kedai Tap & Go yang terletak di Bangunan Baitulmakmur II , Kuching

Inisiatif ini menjadi penanda aras baharu di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2021–2025, seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk mempercepat transformasi negeri ke arah ekonomi tanpa tunai, berasaskan data dan AI.

Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman berkata kedai yang dikuasakan oleh teknologi AI itu membolehkan pelanggan menikmati pengalaman beli-belah “imbas, pilih dan keluar” tanpa memerlukan penjaga kedai atau beratur di kaunter bayaran.

Sudarnoto memberi penerangan mengenai pengoperasian di kedai pintar.

“Untuk memasuki kedai, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR melalui aplikasi SBOX AI yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Playstore. Selepas memilih barangan, pelanggan boleh terus keluar, dan bayaran akan dibuat secara automatik melalui dompet digital SBOX AI Wallet,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan kedai tanpa penjaga ini menandakan babak baharu dalam usaha Sarawak menuju kehidupan bandar pintar.

Teknologi tersebut bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah menyokong matlamat negeri untuk membina masa depan digital yang lestari dan berdaya saing.

Sementara itu, Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, pada sidang media selepas majlis pelancaran berkata, pemilihan Bangunan Baitulmakmur II sebagai lokasi pertama adalah kerana jumlah kakitangan yang ramai di situ, sekali gus memberi peluang kepada lebih 2,000 pekerja merasai sendiri kemudahan digital baharu tersebut.

Mohamad Morshidi mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SBOX AI di Kedai Pintar Tap & Go, Kuching, semalam.

Pelancaran ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan ekosistem digital yang inklusif dan inovatif, sekali gus membawa negeri ini selangkah lebih dekat ke arah merealisasikan visi Bandar Pintar Sarawak dan gaya hidup digital yang lestari.

-RJ-

Tinggalkan komen anda