
Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
LINGGA, 16 Dis (MalaysiaAktif) – Keazaman, disiplin dan semangat kebersamaan kru pendayung Kasihnya Warisan dari Mukah membuahkan hasil apabila pasukan itu dinobatkan juara acara kemuncak Battle of Titans (Champion vs Champion) sempena Regatta Lingga 2025 selepas menewaskan barisan juara regatta dari seluruh Sarawak dalam perlumbaan berprestij di Sungai Lingga, di sini semalam.
Kemenangan tersebut melayakkan Kasihnya Warisan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta piala iringan sekali gus mengukuhkan reputasi pasukan berkenaan sebagai antara gergasi sukan lumba perahu tradisional Sarawak yang konsisten mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang musim regatta 2024 hingga 2025.
Perlumbaan yang menghimpunkan hampir semua “raja sungai” negeri itu berlangsung sengit dan penuh dramatik apabila Kasihnya Warisan bermula seiring pasukan ternama seperti Buraq NTB Darulsalam, Landas CHT dan King Paddle GT sebelum memperagakan kayuhan bertenaga, tersusun serta taktikal yang mencerminkan keserasian kru dan latihan berterusan hingga akhirnya memacu pasukan itu menguasai laluan sungai hingga ke garisan penamat.

Abdul Karim menyampaikan hadiah kepada ketua pasukan Kasihnya Warisan sambil disaksikan oleh tetamu kehormat yang lain.
Kejayaan berkenaan turut disaksikan Penaung Pasukan Kasihnya Warisan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi.
Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Abdul Karim berkata penganjuran Regatta Lingga yang kini memasuki edisi ketiga semakin mendapat perhatian termasuk penyertaan pasukan luar negara seperti Brunei Darussalam sekali gus membuktikan potensi acara tersebut untuk berkembang menjadi festival sukan air dan kebudayaan bertaraf lebih tinggi sekiranya dilaksanakan secara konsisten dan terancang.
“Penganjuran acara berskala besar turut memberi limpahan ekonomi kepada petani, nelayan, peniaga kecil, usahawan serta pengusaha makanan tempatan melalui kehadiran pengunjung.
“Pembinaan jambatan dan jaringan jalan raya dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang maka Regatta Lingga berpotensi dianjurkan pada skala lebih besar dan kementerian bersedia menyalurkan dana yang lebih tinggi sejajar peningkatan kemudahan infrastruktur,” katanya.
Selaras nasihat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, penganjuran regatta di seluruh Sarawak dicadangkan diadakan dua tahun sekali dan diselang-selikan dengan karnival makanan serta kebudayaan.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli; ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor; Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh serta Pegawai Daerah Lingga Frank Lani.
-RJ-





