
Laporan/Foto: Nyempal Inggang (Sarawak)
LUBOK ANTU, 5 Dis (MalaysiaAktif) – Lubok Antu merupakan sebuah pekan persempadanan penting di barat Sarawak yang berperanan sebagai pintu masuk rasmi antara Malaysia dan Kalimantan Barat, Indonesia.
Kedudukannya yang strategik menjadikan kawasan ini tumpuan aktiviti perdagangan, pelancongan serta interaksi sosial antara penduduk dua negara.
Sebagai nadi perhubungan antarabangsa di kawasan pedalaman, pekan ini dilengkapi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) yang menghubungkan Lubok Antu dengan Badau, Indonesia.
Perkhidmatan tersebut memudahkan urusan perdagangan rentas sempadan khususnya dalam sektor pertanian, makanan kering serta barangan keperluan harian ekoran perbezaan harga barangan yang sekali gus merancakkan pergerakan pelawat harian yang keluar masuk melalui pintu sempadan ini.

Kemudahan ICQS Lubok Antu memudahkan urusan rentas sempadan serta menyokong ekonomi dua negara.
Selain menjadi pusat perdagangan, Lubok Antu juga berfungsi sebagai laluan utama ke destinasi pelancongan seperti Empangan Batang Ai, rumah panjang Iban tradisional dan kawasan rekreasi hutan.
Keunikan budaya tempatan termasuk tarian ngajat, hasil kraftangan serta sejarah Fort Arundell pula terus menarik minat pelancong dari kedua-dua negara.
Dari aspek sosial, penduduk di kedua-dua belah sempadan mempunyai hubungan rapat yang terjalin melalui ikatan kekeluargaan serta penggunaan bahasa Iban sebagai medium komunikasi seharian.
Keakraban ini bukan sahaja mengukuhkan perpaduan komuniti, malah mewujudkan interaksi budaya yang harmoni.
Ringkasnya, Lubok Antu terus memainkan peranan sebagai sebuah pekan strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan pelancongan, di samping memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
-RJ-





