
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Ab Rauf Yusoh
BANDA HILIR, 7 Dis (MalaysiaAktif) – ‘Melaka Bila Larut Malam’ terus mendapat tarikan pelancong dan membuka ruang baharu kepada penggiat industri pelancongan untuk memperkenalkan tarikan negeri ini di luar waktu puncak, sekali gus merancakkan lagi ekonomi malam serta menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung tempatan dan luar.

Ucapkan Ketua Menteri Melaka pada majlis tersebut.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata produk pelancongan tersebut telah memasuki edisi ke-18 sejak ia dilancarkan pada Mei tahun lepas.
“Seramai lebih 193,000 pengunjung direkodkan telah hadir dan menyumbang kepada nilai pendapatan mencecah lebih RM1.9 juta.
“Tahun 2026, kita mensasarkan kehadiran 19 juta pengunjung menerusi pelaksanaan lebih 220 acara pelancongan merangkumi 14 subsektor pelancongan,” katanya ketika berucap sebelum melepaskan peserta Melaka Neon Walk 5.0 di Dataran Stadthuys anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Lions Club Tanjung Bidara, di sini semalam.

Persembahan kebudayaan memperkenalkan budaya Melaka kepada pelancong.
Beliau dalam pada itu berkongsi keterujaannya melihat ribuan pengunjung yang memenuhi perkarangan dataran tersebut sekali gus mencerminkan sokongan pelancong dan pengunjung terhadap inisiatif digerakkan kerjaan negeri bagi menghidupkan ekonomi pelancongan Melaka pada waktu malam.
Beliau turut memaklumkan Tahun Melawat Melaka 2.0 akan dilancarkan pada 31 Dis ini sempena Ambang Tahun Baharu 2026.
-RI





