
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 15 Dis (MalaysiaAktif) – Keterbukaan masyarakat yang dibina atas kefahaman mendalam dan sikap saling menghormati antara agama serta kaum menjadi kekuatan utama Selangor dalam memastikan kestabilan dan keharmonian negeri.
Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat yang terbuka tidak bermaksud mengorbankan pegangan agama atau identiti masing-masing sebaliknya menuntut kefahaman dan keprihatinan yang tinggi antara satu sama lain.

Antara persembahan semasa Sambutan Perayaan Krismas Parlimen Gombak.
Menurutnya budaya hormat-menghormati itu jelas ditunjukkan semasa sambutan Perayaan Krismas Parlimen Gombak di Selayang Baru apabila nyanyian dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada laungan azan.
“Kita boleh sahaja meneruskan acara, namun sikap menghormati inilah yang membentuk masyarakat harmoni dan berbudaya,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan, di sini pada Ahad.
Amirudin berkata keharmonian antara agama dan kaum perlu terus dipertahankan dengan menolak sebarang bentuk ekstremisme berasaskan agama, kaum atau warna kulit selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Antara warga Gombak yang hadir di Sambutan Perayaan Krismas Parlimen Gombak.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri terus komited menyokong semua komuniti agama dengan menyediakan peruntukan tahunan bagi pengurusan rumah ibadat Islam dan bukan Islam.
“Bagi tahun 2026, peruntukan untuk rumah ibadat bukan Islam akan dinaikkan daripada RM6 juta kepada RM8 juta selain sokongan berterusan kepada masjid dan komuniti Islam,” katanya.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata walaupun Selangor berdepan pelbagai cabaran, kerajaan perpaduan dan Kerajaan MADANI komited memastikan kestabilan politik, keharmonian kaum serta kebebasan beragama terus terpelihara.
Tambahnya, sambutan Krismas Parlimen Gombak itu menjadi simbol kepada perpaduan dan nilai saling menghormati yang terus dipupuk dalam masyarakat majmuk di Selangor.
-RI





