Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sambutan Krismas 2025 Meriah, Penuh Semangat Perpaduan

By 18 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 18 Dis (MalaysiaAktif) – Sambutan Perayaan Hari Krismas di Padang Merdeka, Kota Kinabalu berlangsung dengan meriah dan harmoni apabila dihadiri masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Sambutan penuh kesyukuran ini bukan sahaja dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, malah Program Jamuan Rakyat yang diadakan turut menjadi medium berkesan dalam mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan rakyat Sabah.

Salah seorang pengunjung, Floranita Yakim, 42, berkata sambutan Hari Krismas yang diadakan secara besar-besaran berjaya menyemarakkan semangat keluarga dan umat Kristian khususnya dalam menyambut perayaan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

“Selain itu, pengunjung turut berpeluang menikmati makanan percuma di gerai-gerai yang disediakan. Ini sekali gus memeriahkan sambutan apabila masyarakat pelbagai kaum dan agama dapat berkongsi kegembiraan pada malam ini.

Florita dan anaknya turut hadir memeriahkan Sambutan Hari Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform penyatuan rakyat di negeri ini,” katanya ketika ditemui semasa Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 di Padang Merdeka, di sini pada Selasa.

Sementara itu, seorang pengusaha makanan daripada Empayar Unggul, Amir Hishyam Shah, 26, berpendapat sambutan berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan tempatan, khususnya industri kecil dan sederhana (IKS), untuk menjana pendapatan.

“Kami menyediakan makanan dan minuman untuk semua pengunjung, termasuk 1,000 bungkusan makanan percuma bagi pengunjung yang hadir pada sambutan waktu malam. Saya berharap orang ramai dapat datang dan menyertai program ini untuk berkongsi keceriaan bersama,” katanya.

Amir di gerai makanannya menyediakan 1,000 bungkusan makanan percuma kepada pengunjung tanpa mengira kaum atau agama sempena Sambutan Hari Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025.

Majlis yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga esok diserikan dengan pelbagai dekorasi Hari Natal, antaranya kandang Natal, persembahan muzik keagamaan, pokok Krismas serta hiasan lampu yang memukau di sekitar Padang Merdeka.

Program Jamuan Rakyat yang turut diadakan melibatkan kira-kira 100 usahawan tempatan dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil yang membekalkan pelbagai juadah kepada pengunjung, sekali gus mencerminkan sokongan kerajaan terhadap perusahaan mikro dan kecil di negeri ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda