Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Taman Jubli Emas Alor Setar Destinasi Rekreasi Keluarga

By 15 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Intan Iryani Mohamad (Kedah)

ALOR SETAR, 15 Dis (MalaysiaAktif) – Taman Jubli Emas yang terletak di Suka Menanti, di sini terus menjadi tumpuan utama warga kota untuk beriadah, berkelah dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Berkeluasan lebih 14 hektar dengan pemandangan menghijau, taman ini menjadi lokasi ideal untuk aktiviti santai, sukan serta acara komuniti.

Keindahan Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti.

Taman ini dibuka sempena sambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada tahun 2008 dan terus menjadi simbol perpaduan serta kesejahteraan rakyat di negeri Kedah.

Terletak kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar Alor Setar, taman ini mudah diakses dan menawarkan pelbagai kemudahan termasuk trek joging, taman permainan kanak-kanak, tasik buatan, gazebo dan kawasan riadah terbuka.

Menurut seorang pengunjung tetap, Mohd Zaidi Khairodin, 45, beliau bersama keluarganya akan datang ke taman ini hampir setiap minggu untuk bersenam dan beriadah.

“Taman Jubli Emas sangat sesuai untuk semua lapisan umur. Anak-anak boleh bermain dengan selamat, manakala kami boleh berjoging atau berbasikal keliling taman. Suasana pun tenang dan bersih,” katanya.

Taman ini juga menjadi lokasi utama bagi pelbagai program komuniti termasuk senamrobik, larian amal, hari keluarga, karnival belia serta sambutan peringkat negeri. Selain itu, pelbagai gerai makanan dan minuman dibuka setiap hujung minggu, menjadikan suasana taman lebih meriah.

Bagi pelancong luar, Taman Jubli Emas menawarkan peluang bergambar dengan latar belakang landskap yang indah serta monumen khas Jubli Emas yang menjadi lambang sejarah pemerintahan Sultan Kedah yang ke-27.

-RI

Tinggalkan komen anda