Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

TOD Seremban Sentral Pacu Pembangunan Bandar Raya Seremban

By 7 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman(Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 7 Dis (MalaysiAktif) – Bandar Raya Seremban melakar satu lagi pencapaian penting dengan berlangsungnya Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) Seremban Sentral.

Anthony Loke ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Projek TOD yang merupakan kerjasama antara RAC dan Kumpulan Sunway itu merangkumi pembangunan hospital moden, pusat beli-belah baharu serta menara pejabat di kawasan seluas 20.8 ekar dijangka mengubah landskap bandar serta memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di negeri ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan berteraskan transit sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi bandar.

“Projek TOD Seremban Sentral ini membuktikan bahawa pembangunan pengangkutan awam bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi ia membuka ruang kepada peluang pekerjaan, merancakkan ekonomi setempat dan membentuk bandar yang lebih mampan untuk generasi akan datang,” katanya, di sini semalam.

Anthony Loke di sidang media.

Loke berkata Seremban Sentral akan menjadi mercu pembangunan baharu yang inklusif dan berdaya saing.

“Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi negara menuju sistem pengangkutan awam yang moden, efisien dan berintegrasi. Saya yakin Seremban akan terus muncul sebagai bandar raya masa depan yang menawarkan kesejahteraan dan peluang lebih luas kepada rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Seremban itu.

TOD memberi penekanan kepada pemeliharaan identiti sejarah bandar melalui pemuliharaan Seremban Yard serta penaiktarafan Heritage Market di samping menyumbang lebih 2,500 peluang pekerjaan dan potensi penjanaan sehingga RM300 juta hasil perniagaan setahun.

Ia juga dijangka menyokong sehingga 6,000 pengguna setiap hari, menjadikannya salah satu nadi pertumbuhan utama di kawasan tersebut.

-RI

Tinggalkan komen anda