
Laporan/foto: Sarah Saad (Perak)
IPOH, 7 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 250 keluarga daripada golongan miskin dan miskin tegar menarik nafas lega apabila menerima sumbangan Baucar Kelengkapan Persekolahan bernilai RM400, di sini hari ini.
Sumbangan disempurnakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim menerusi Program Kembali ke Sekolah Tahun 2026 di bawah Inisiatif Sejahtera MADANI.
Unit Komunikasi Korporat dan Media (UKOM) Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dalam kenyataan memaklumkan program itu hasil kerjasama pihaknya dengan Pasaraya Borong Sakan Sdn. Bhd.
“Inisiatif ini merupakan usaha murni kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan keluarga bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak menjelang sesi akademik baharu,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Muhammad Kamil dalam ucapan perasmiannya di Pasaraya Borong Sakan Klebang, berkata nilai sumbangan tersebut telah dinaikkan kepada RM400 pada tahun ini berbanding hanya RM200 pada tahun sebelumnya.
Jelasnya, kerajaan sentiasa komited memperkenalkan pelbagai inisiatif yang merangkumi aspek sokongan kos sara hidup dan pemerkasaan pendidikan buat rakyat.
“Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 adalah tambahan kepada baucar yang diterima hari ini, manakala pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan dilaksanakan bermula 20 Jan ini.
“Selain itu, pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas akan dikreditkan ke dalam MyKad pada 9 Feb depan bagi persiapan menyambut Ramadan dan Tahun Baru Cina,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa Jualan Rahmah MADANI akan diadakan sebanyak tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 9 Januari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil turut memetik pengumuman Perdana Menteri (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) pada Perutusan Tahun Baru 2026 yang lalu iaitu peruntukan naik taraf berjumlah RM80 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Penerima sumbangan Noorshielawati Md Amin, 33, menzahirkan rasa gembira atas keprihatinan kerajaan MADANI terhadap golongan yanh memerlukan.
“Rasa seronoklah, dapat meringankan beban. Cuma diharapkan boleh dapat lebih awal sebab kebanyakan persiapan (persekolahan anak) dah beli, tapi apa-apa pun terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pagi ini.
Turut hadir Pengarah Pembangunan Negeri Perak Dato’ Mohd Zakuan Zakaria Pegawai Daerah Kinta Zulhisham Ahmad Shukori dan Pengurus Projek Pasaraya Borong Sakan Sdn. Bhd. Hamdan Hashim.
-RI





