
Laporan/foto: Regina Lasia (Telang Usan)
LONG LAMA, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Pekan Long Lama menjadi tumpuan apabila lebih 500 tetamu dari lima negara berhimpun bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Pertama Pertubuhan Pendidikan Akhlak Ji Ze Ge Long Lama dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan SJK (C) Kee Tee, di sini malam tadi.
Majlis berkenaan bukan sekadar keraian tahunan, malah mencerminkan semangat perpaduan global menerusi kehadiran delegasi dari Brunei, Singapura, Thailand, China dan Taiwan, selain tetamu dari Semenanjung Malaysia serta sekitar Miri dan Sarawak.
Majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dato Dennis Ngau yang dimulakan dengan gimik sentuhan skrin digital, disusuli acara simbolik ‘Pop Balloon’ dan upacara pemotongan kek sebagai lambang kejayaan setahun penubuhan pertubuhan berkenaan.

Sesi pemotongan kek simbolik oleh Dennis Ngau memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Pertama Pertubuhan Pendidikan Akhlak Ji Ze Ge Long Lama.
Dalam ucapannya, Dennis mengalu-alukan kehadiran delegasi luar negara ke Long Lama serta memuji inisiatif Pertubuhan Pendidikan Akhlak Ji Ze Ge dalam memperkasa nilai pendidikan akhlak, kebajikan dan keharmonian masyarakat setempat.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua penderma, sukarelawan serta pihak yang terlibat menjayakan majlis ini. Usaha yang dilaksanakan amat bermakna kepada komuniti setempat dan wajar diteruskan,” katanya.
Seiring dengan matlamat pertubuhan yang menitikberatkan kebajikan dan keselamatan masyarakat, dua unit bot penyelamat turut diserahkan kepada komuniti setempat sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana, khususnya musim banjir di kawasan pedalaman.
Majlis turut menyantuni golongan veteran menerusi pemberian angpau kepada warga emas berusia 75 tahun ke atas sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada generasi terdahulu.

Dennis Ngau menyampaikan sumbangan kepada warga emas berusia 75 tahun ke atas sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Pertubuhan Pendidikan Akhlak Ji Ze Ge Long Lama.
Walaupun baru setahun ditubuhkan, Pertubuhan Pendidikan Akhlak Ji Ze Ge Long Lama membuktikan peranannya sebagai antara penggerak penting pembangunan sosial dan keselamatan komuniti di pedalaman Miri serta komited untuk terus menyemai nilai murni dan memperluaskan bantuan kemanusiaan tanpa mengira latar belakang.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dominic Nyurang Ajang, Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Akhlak Ji Ze Ge Long Lama, Penghulu Desmond Yap Chieng Siang dan Pengerusi Persekutuan Pertubuhan De Jiao Malaysia Timur merangkap Penasihat Berkuasa Penuh Ji Ze Ge Long Lama, Tony Pui.
-RJ-






