Skip to main content
Berita TempatanSabah

JPSM Digesa Pertimbang Bina Pusat Latihan Pertanian di Beluran

By 26 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad (Beluran)

BELURAN, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) digesa mempertimbangkan pembinaan pusat latihan pertanian berasaskan teknologi sebagai hab latihan dan pembangunan kemahiran di daerah Beluran.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri berkata inisiatif itu penting bagi meningkatkan kemahiran serta taraf ekonomi masyarakat setempat khususnya golongan B40 untuk jangka masa panjang.

Samad ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Smart Farming IoT (Tanaman Fertigasi) Daerah Beluran 2026.

“Sekiranya JPSM dapat melaksanakan pembinaan pusat latihan di daerah Beluran, kami menyambut baik cadangan tersebut dan akan memberikan sokongan sepenuhnya.

“Pusat latihan ini amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan kemahiran dapat dijalankan secara berterusan dan lebih tersusun selain memudahkan penyertaan masyarakat luar bandar tanpa perlu ke daerah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Smart Farming IoT – Tanaman Fertigasi Daerah Beluran 2026, di sini, Ahad.

Samad berkata kursus selama 10 hari yang dikendalikan JPSM dengan kerjasama Global Skill Hub (GSH) itu disertai 20 peserta dalam kalangan belia B40 dari daerah berkenaan.

Sebahagian peserta Kursus Smart Farming IoT – Tanaman Fertigasi Daerah Beluran 2026 bergambar bersama sijil penyertaan selepas majlis penutupan kursus di Beluran.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan kursus berasaskan teknologi moden seperti Smart Farming IoT yang menggabungkan sektor pertanian dan teknologi digital memberikan impak positif kepada peserta, sekali gus menjadikan Beluran sebagai daerah pertama melaksanakan program seumpama itu.

“Inisiatif ini memberi pendedahan baharu kepada peserta khususnya petani untuk mengaplikasikan kaedah pertanian yang lebih moden dan berdaya saing.

“Program ini juga berpotensi dikembangkan kerana memberi tumpuan kepada golongan B40 dan petani luar bandar seterusnya membantu meningkatkan pendapatan serta ekonomi mereka pada masa hadapan,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda