
Laporan/foto: Akmar Zulkifli (Pahang)/Nasrul Isyam
GAMBANG, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Unit Pengajian Am Matrikulasi (UPAM) Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) mengambil pendekatan menerusi kaedah pendidikan literasi kewangan bagi membina benteng pertahanan diri pelajar daripada jenayah siber yang semakin agresif menyasarkan golongan belia.
Program Ceramah Ancaman Scammer: Lindungi Diri yang berlangsung di Dewan Kuliah Besar 2, di sini kelmarin dihadiri oleh kira-kira 300 pemimpin pelajar dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Sesi 2025/2026.

Para peserta program, barisan jawatankuasa pelaksana serta tetamu jemputan.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Pahang Mohd Farid Mohd Nor yang menaja jamuan makan untuk para peserta sebagai tanda keprihatinan pemimpin terhadap usaha pendidikan luar kuliah dan kebajikan warga kampus.
“Pelajar perlu cakna dan membina benteng pertahanan diri yang kukuh agar tidak terjerat dalam kes jenayah tanpa sedar sebelum melangkah ke alam universiti,” katanya.
Antara pengisian ceramah ialah slot berkisar modus operandi, akaun keldai dan pancingan data yang disampaikan oleh wakil Bank Rakyat cawangan Muadzam Shah, Mohamad Farhanudin Mohamed Sani.
Dalam ceramahnya beliau menegaskan bahawa literasi kewangan adalah kunci utama bagi pelajar untuk melindungi aset dan identiti diri daripada dimanipulasi oleh sindiket penipuan kolar putih.
Program kerjasama strategik antara pihak KMPh, Bank Rakyat Cawangan Muadzam Shah dan Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) ini diharapkan dapat melahirkan komuniti kampus yang peka, di mana para peserta bertindak sebagai ejen penyebar maklumat (peer-to-peer) bagi memastikan warga KMPh bebas daripada ancaman scammer.
-RI





